fbpx
Adam Asmuni

Mahkamah tolak rayuan bekas Ketua Pemuda Bersatu dapat semula aset lucut hak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Adam Asmuni gagal dalam rayuan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bagi mendapatkan kembali aset dan barangan yang dilucut hak pihak berkuasa semasa serbuan dadah.

Ia berikutan apabila Hakim Datuk Mohd. Arief Emran Arifin menolak rayuan Adam Asmuni, 40, selaku perayu selain telah meneliti hujahan pihak-pihak sebelum ini.

“Mahkamah ini menolak rayuan perayu dan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen sebelum ini,” kata Hakim Mohd. Arief.

Dalam prosiding hari ini Adam Asmuni diwakili peguam Amirrul Jamaluddin manakala Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Shahrizzat Amadan mewakili pendakwa raya bertindak sebagai responden.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh antara barangan yang dilucut hak milik Adam Asmuni itu ialah kereta BMW X5, jam, tangan,
wang dalam akaun Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) dan sebuah motosikal.

Terdahulu pada 4 Februari lalu, mahkamah turut menolak permohonan isteri Adam Asmuni Lyiana Roslee untuk mendapatkan semula aset dan harta yang dilucut hak dalam kes sama.

Sementara itu, Amirrul ketika ditemui selepas prosiding berkata pihaknya akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi hari ini.

Pada 14 Mac 2023, Hakim Mahkamah Sesyen Nor Hasniah Ab Razak menolak permohonan Adam dan isterinya, Lyiana Roslee untuk mendapatkan semula kereta BMW X5 dan BMW 328i serta barangan lain termasuk wang tunai, kereta, motosikal, jam tangan mewah, beg tangan, komputer riba, gelang, rantai leher, serta akaun ASNB.

Hasniah, bagaimanapun, hanya membenarkan tuntutan untuk wang tunai berjumlah RM3,250 yang dirampas.

Mahkamah juga memerintahkan RM28,513.97 daripada RM81,468.51 dalam dua akaun ASNB dikembalikan kepada Lyiana. Baki RM52,954.54 dan semua barangan lain bagaimanapun disita kerajaan.

Hasniah ketika menolak permohonan pasangan itu berkata, pasangan itu gagal mengemukakan keterangan melibatkan rampasan kereta BMW X5 dan BMW 328i dibayar oleh syarikat percetakan milik mereka, Percetakan Alfa Gemilang Sdn. Bhd.

Tiada juga keterangan yang menunjukkan syarikat percetakan tersebut membuat pembayaran bulanan untuk melunaskan pinjaman pembelian kenderaan tersebut, katanya.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI