LANGKAWI – Kerjasama Majlis Amanah Rakyat (Mara) dengan pemain industri Jepun perlu terus dipertingkatkan menerusi pengukuhan peranan Mara-Japan Industrial Institute (MJII) bagi memastikan pelaksanaan program latihan lebih tersusun dan berimpak tinggi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penglibatan syarikat Jepun yang lebih menyeluruh dan tersusun akan membolehkan MJII berperanan sebagai saluran utama pembangunan bakat dalam bidang teknikal dan vokasional.
Kata beliau, usaha itu membuka ruang kepada rakan industri terlibat secara langsung dalam aspek latihan dan bimbingan selain mengambil graduan untuk diserap ke dalam operasi syarikat masing-masing.
“Malaysia komited memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai tonggak utama pembangunan negara. Melalui Mara dan institusi lain, kita bukan sahaja berhasrat melahirkan tenaga kerja mahir, malah teknopreneur iaitu golongan muda yang mampu mencipta perniagaan, membangunkan teknologi dan menjana peluang pekerjaan.
“Jepun dengan kekuatan dalam kejuruteraan ketepatan, automasi dan inovasi hijau merupakan rakan strategik semula jadi dalam usaha ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala Forum Perniagaan Antarabangsa Mara-OISCA 2026 di sini malam tadi.
Menurut Ahmad Zahid, kerjasama Mara-OISCA yang terjalin sejak 1967 merupakan contoh diplomasi berkesan yang diterjemahkan kepada usaha pembangunan modal insan dan melahirkan generasi belia berkemahiran serta berwawasan global.
Beliau pada masa sama berkata, lebih 1,000 belia Malaysia telah menjalani latihan industri di Jepun, manakala lebih 3,000 lagi mengikuti program kemahiran di Malaysia dengan kira-kira 70 peratus daripadanya berjaya memperoleh pekerjaan dalam sektor swasta termasuk syarikat multinasional Jepun.
“Kira-kira 70 peratus belia ini juga telah mendapat pekerjaan dalam sektor swasta dan kebanyakannya adalah dengan syarikat multinasional Jepun,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














