PETALING JAYA – Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd (ikhlas.com) menjalin kerjasama berasingan dengan TheNoor dan Touch ’n Go bagi memperluas akses pembayaran fidyah, sekali gus memudahkan umat Islam menunaikan kewajipan mereka menerusi platform digital yang digunakan secara meluas.
Melalui kerjasama itu, umat Islam kini boleh menunaikan fidyah melalui Touch ’n Go sebagai saluran pembayaran alternatif sementara ikhlas.com berperanan sebagai platform pemudah cara yang menyokong pengurusan serta pelaksanaan pengagihan fidyah secara terancang, selaras dengan prinsip syariah dan amalan kebajikan yang bertanggungjawab.
Bayaran fidyah yang diterima melalui platform berkenaan diselaraskan menerusi program fidyah ikhlas.com, dengan setiap sumbangan direkod dan dilaksanakan melalui aktiviti pengagihan yang dirancang, disokong oleh mekanisme pelaporan yang sesuai bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti.
Ketua Pegawai Eksekutif Ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin berkata, keutamaan kami adalah untuk memudahkan pelaksanaan kewajipan tanpa membebankan pengguna.
“Melalui kerjasama dengan pelbagai platform digital, kami dapat memperluas capaian dan kemudahan, di samping memastikan sumbangan fidyah diurus serta dilaksanakan secara tersusun, telus dan bertanggungjawab.”
Usaha sama itu diumumkan sempena program pengagihan fidyah ‘Amanah Fidyah: Sekampit Beras, Seribu Makna’ yang berlangsung di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Kampung Ampang Indah hari ini.
Program tersebut melibatkan pengagihan beras fidyah kepada 200 keluarga asnaf di sekitar zon Lembah Jaya, sekali gus membuktikan bahawa peluasan akses pembayaran digital mampu diterjemahkan kepada impak komuniti yang nyata. -KOSMO! ONLINE














