JAKARTA – Kemalangan jalan raya akibat jalan berlubang berlaku lagi di Jakarta, demikian menurut saluran berita Liputan 6 hari ini.
Terbaru, seorang pemandu teksi motosikal dalam talian (ojol) terbaring tidak sedarkan diri apabila mostosikalnya melanggar lubang besar di Jejantas Grogol, Jakarta Barat pada Isnin lepas.
Gabenor Jakarta, Pramono Anung mengaku beliau tidak mengetahui butiran kejadian. Bagaimanapun, Pramono memohon maaf kerana pengendalian jalan berlubang di ibu kota Indonesia itu belum selesai.
“Jika berlaku kemalangan seperti di Grogol, ya, ia adalah insiden yang pemerintah Jakarta pastinya memohon maaf dan tidak sama sekali berhasrat membiarkannya,” kata Pramono di Jakarta Barat hari ini.
Menurutnya, pekerja berkaitan sedang menampal jalan berlubang secara besar-besaran.
Pramono berkata, berdasarkan pengumpulan data minggu lalu, terdapat kira-kira 6,000 jalan berlubang di pelbagai lokasi di Jakarta.
“Jadi sekarang, kerja menampal dijalankan secara besar-besaran. Lubang yang kami kira minggu lalu adalah 6,000, hampir kebanyakannya telah kami tampal,” katanya.
Bagaimanapun, Pramono tidak menafikan masih terdapat lubang yang belum ditangani dan berpotensi membahayakan pengguna jalan raya.
“Jadi kami meminta semua pengguna jalan raya di Jakarta untuk berhati-hati,” kata Pramono. – AGENSI














