SEPANG- AirAsia X Berhad terus meluaskan rangkaian penerbangan syarikat itu apabila mengumumkan dua laluan antarabangsa baharu yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Bahrain dan seterusnya ke London Gatwick bermula 26 Jun depan.
Dalam konteks ini, laluan baharu itu bakal menjadikan Bahrain sebagai hab global pertama AirAsia X, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai pintu masuk utama yang menghubungkan Asia Tenggara, Timur Tengah dan Eropah.
Ketua Pegawai Eksekutif Capital A dan Penasihat kepada AirAsia X, Tan Sri Tony Fernandes berkata, Bahrain sebagai hab penerbangan strategik bakal membolehkan hubungan antara Asia dengan Timur Tengah dan Eropah diperkukuh dengan lebih efektif.
“Kerjasama itu turut memperkasa ekosistem penerbangan secara menyeluruh selain membuka peluang kepada perniagaan Capital A seperti kargo dan perkhidmatan kejuruteraan.
“Selain itu, kerjasama dengan lapangan terbang, pihak berkuasa pelancongan dan rakan industri juga akan terus diperkukuh bagi membuka koridor permintaan baharu,” katanya hari ini.
Difahamkan, AirAsia X baka menggunakan pesawat model Airbus 330-300 bagi laluan baharu tersebut, seterusnya meluaskan akses kepada pelancong dari Australia, Indonesia, Vietnam dan pasaran utama lain.
Ia sekali gus bakal mewujudkan laluan perjalanan yang lebih mampu milik dan mudah ke Bahrain dan London.
Bagi laluan baharu itu, AirAsia X menawarkan tambang promosi dengan masa terhad bermula daripada RM99 dan RM199 termasuk semua sehala dari Kuala Lumpur ke Bahrain dan London.
Bagi kedua-dua sektor pula, ia dengan tambang bermula daripada RM299 dan RM399.
Selain itu, penumpang juga boleh menikmati perjalanan menggunakan Premium Flatbed AirAsia X bermula daripada RM2,999 termasuk semua sehala bagi kedua-dua sektor
Penerbangan kini boleh ditempah bermula hari ini hingga 22 Februari 2026, bagi tempoh perjalanan antara 26 Jun hingga 30 November 2026, menerusi airasia.com dan aplikasi AirAsia MOVE. – KOSMO! ONLINE














