SKUAD ragbi wanita 15 sebelah (15s) negara kini berada pada tahap persiapan tertinggi untuk mencipta kejutan ke atas Filipina dalam Kejohanan Ragbi Wanita 15s Asia Tenggara di Padang Astaka, Petaling Jaya pada Sabtu ini.
Ketua jurulatih negara, Raimi Mohd. Yusof menegaskan, selepas terikat 15-15 menentang Singapura minggu lalu, fokus utama adalah mempertajamkan aspek serangan dan pertahanan bagi memastikan misi memburu kemenangan sulung tercapai.
Meskipun sedar lawan mempunyai kelebihan dari segi saiz fizikal dan pengalaman dalam format 15s, anak buahnya sudah bersedia dengan taktikal untuk memerangkap skuad Lady Volcanoes itu.
“Daripada perlawanan pertama, kita dapati pemain masih terbawa-bawa gaya 7s. Untuk aksi Sabtu ini, kita akan lebih banyak gunakan kekuatan unit menerusi ball carry yang lebih efektif untuk memecah barisan mereka.
“Kita akan cuba memberi tekanan fizikal dalam 40 minit pertama untuk menguji tahap kecergasan mereka.
“Jika mereka gagal mengimbangi tempo kita, elemen tendangan tinggi dan tekanan akan digunakan sepenuhnya bagi memaksa lawan melakukan kesilapan,” katanya.
Mengulas kekuatan Filipina yang diperkuatkan beberapa pemain berpangkalan di Amerika Syarikat, Raimi menyifatkan saiz bukan penghalang utama buat anak buahnya.
“Kita tahu mereka ada pemain naturalisasi tetapi dalam ragbi 15s, disiplin taktikal dan kekuatan mental lebih memainkan peranan. Pemain kita sudah mula serasi dengan struktur permainan dan saya yakin mereka mampu bangkit.
“Cabaran mengendalikan pasukan wanita berbeza, terutamanya dari sudut emosi, tetapi semangat yang mereka tunjukkan ketika mendahului Singapura sebelum ini memberi keyakinan bahawa kita mampu menumbangkan Filipina,” tambahnya.
Kemenangan ke atas Filipina adalah misi wajib buat Malaysia untuk mencerah peluang muncul juara keseluruhan kejohanan berdasarkan format round robin yang digunakan.














