ALOR SETAR – Seorang pemuda berdepan hukuman mati apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh ibunya sendiri pada 2 Februari lalu.
Tertuduh, Amirul Shafiq Shamshul Zahari, 29, mengangguk faham sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Eliana Ismail.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang merupakan anak sulung daripada enam beradik.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh Zahrullail Basir, 52, di sebuah rumah di Taman Sultan Abdul Halim, Jalan Tanjung Bendahara, di sini antara pukul 3.15 pagi hingga 8 pagi, 2 Februari lalu.
Pendakwaan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah juga dihukum sebatan minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding itu, Amirul Shafiq yang berada di kandang tertuduh dilihat dalam keadaan tenang ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya dan memaklumkan kepada mahkamah dia memahami pertuduhan tersebut.
Timbalan Pendakwa Raya, Norfatin Azera Norhisham kemudian memohon satu tarikh untuk laporan bedah siasat dan forensik serta tidak mencadangkan jaminan kerana kesalahan tersebut tidak boleh dijamin.
Majistret Eliana seterusnya bertanya sama ada Amirul Shafiq faham dan jelas serta mahu berkata apa-apa, namun tertuduh menjawab tiada.
Mahkamah seterusnya menetapkan 11 Mei ini untuk sebutan semula kes.
Beberapa ahli keluarga tertuduh dilihat hadir di mahkamah.
Kosmo! pada 2 Februari lalu melaporkan seorang eksekutif bank berusia 52 tahun ditemukan tidak bernyawa di rumahnya di Taman Sultan Abdul Halim disyaki dibunuh.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.45 pagi itu, mangsa, Zahrullail dijumpai maut tiga kesan tikaman di badan.
Anak sulung mangsa kemudiannya ditahan di dalam sebuah bas persiaran di Kilometer 441.5 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan yang dipercayai dalam perjalanan ke Selangor.
Hasil siasatan awal polis mendapati masalah kewangan dan sikap panas baran suspek disyaki menjadi motif pembunuhan tersebut.
Suspek yang merupakan pekerja kilang di Pulau Pinang dipercayai mempunyai bebanan hutang along di sekitar negeri itu, selain perlu membayar sewa motosikal bagi perkhidmatan p-hailing sebanyak RM700 sebulan serta sewa bilik. – KOSMO! ONLINE














