fbpx
Mohd. Yusri ketika gimik pelepasan konvoi pada Majlis Pelancaran Op Selamat 25 Tahun Baharu Cina 2026 di Restoran Jejantas Sungai Buloh, hari ini. Foto oleh ISKANDAR ISHAK/KOSMO!

Op Selamat 25: 407 ‘hot spot’, 76 ‘black spot’ kemalangan dikenal pasti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI BULOH – Sebanyak 407 lokasi ‘hot spot’ dan 76 lokasi ‘black spot’ yang dikesan di jalan persekutuan, negeri dan bandaran di seluruh negara kini dalam pemantauan polis sepanjang pelaksanaan Op Selamat 25 sempena Tahun Baharu Cina.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, 25 ‘hot spot’ dan 46 ‘black spot’ pula dikenal pasti di lebuh raya utama yang akan diberi tumpuan pemantauan.

Katanya, seramai 6,930 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik digerakkan bagi menjalankan rondaan, pemantauan di kawasan ‘hot spot’ dan ‘black spot’, selain mengawal serta melancarkan aliran trafik.

“Pemantauan udara turut dilaksanakan menggunakan Pasukan Gerakan Udara,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Op Selamat 25 sempena Tahun Baharu Cina 2026 di sini hari ini.

Menurutnya, operasi itu turut memfokuskan kepada enam kesalahan trafik utama yang sering menjadi punca kemalangan semasa musim perayaan.

Ia melibatkan kesalahan memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, memotong barisan, gagal mematuhi lampu isyarat, memandu melebihi had laju dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu.

Op Selamat 25 yang bermula 15 Februari hingga 20 Februari ini bertujuan mengurangkan kemalangan maut dan cedera serta memastikan kelancaran trafik semasa musim perayaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI