fbpx
King Sing ketika beramah mesra pada Majlis Peluncuran Kempen Mesra Malaysia di KL Sentral, hari ini. Foto oleh SYAKIR RADIN/KOSMO!

Masih ada pelancong ‘kosong’ bila sampai Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Masih terdapat pelancong yang datang ke negara ini dalam keadaan ‘kosong’ tanpa maklumat jelas mengenai destinasi, kemudahan atau saluran bantuan yang boleh dirujuk sebaik tiba di Malaysia.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, perkara itu dikesan hasil maklum balas yang diterima beliau ketika turun padang dan berinteraksi sendiri dengan pelancong asing.

Menurutnya, situasi tersebut tidak seharusnya berlaku kerana ia boleh menjejaskan imej negara sebagai destinasi pelancongan mesra dan berkualiti.

“Bila saya ikut turun dan bertanya sendiri kepada pelancong, ada yang beritahu mereka tidak tahu hendak rujuk ke mana, tidak pasti lokasi tarikan pelancongan atau saluran untuk mendapatkan bantuan.

“Ini perkara yang perlu kita ambil serius kerana pengalaman pertama mereka di pintu masuk negara sangat penting,” katanya ketika berucap di Majlis Peluncuran Kempen Mesra Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua kementerian, agensi serta pemain industri pelancongan supaya memperkukuh kerjasama bagi memastikan maklumat disampaikan dengan lebih jelas dan berkesan kepada pelancong.

Katanya, kejayaan sektor pelancongan bukan hanya bergantung kepada dasar kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen menyeluruh termasuk pegawai pelancongan, pengusaha industri, pihak berkuasa tempatan dan masyarakat.

“Kita tidak mahu ada pihak yang ambil mudah atau tidak memberi perhatian. Kalau ada agensi yang sepatutnya terlibat tetapi tidak hadir atau tidak memainkan peranan, itu satu kerugian kepada negara.

“Ini tanggungjawab bersama. Jangan fikir soal komisen atau kepentingan sendiri sahaja,” tegasnya.

Beliau memberi contoh budaya masyarakat Jepun yang sentiasa tunduk dan mengucapkan terima kasih kepada pelawat sebagai amalan yang boleh dicontohi.

Jelasnya, ketika membuat tinjauan sempena sambutan ambang tahun baharu 31 Disember lalu, seorang pelancong dari negara seberang memaklumkan menerima layanan kurang menyenangkan ketika menaiki tren.

“Pelancong itu beritahu bila dia naik tren, orang tidak mesra. Di stesen tren pun ada yang marah-marah. Sama juga dengan pemandu, bila pelancong tanya destinasi, dia marah dan kata kalau tidak faham, tak payah naik.

“Jadi pelancong itu nak pergi mana? Jalan kaki? Inilah puncanya,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, King Sing memaklumkan sehingga Januari 2026, seramai 9,898 pembantu pelancong telah berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Menurutnya, pada tahun 2024 sebanyak 51 siri kursus dianjurkan melibatkan 1,334 peserta, manakala pada 2025 sebanyak 107 sesi latihan dilaksanakan dengan penyertaan 3,588 peserta.

“Secara keseluruhan bagi tempoh 2024 hingga 2025, sebanyak 158 siri kursus telah dijalankan melibatkan 4,932 petugas barisan hadapan.

“Namun jumlah itu masih tidak mencukupi. Kita mahu lebih ramai tampil membantu menjaga imej negara,” katanya.

Mengulas mengenai pemulihan Bangunan Sultan Abdul Samad, King Sing berkata, projek tersebut baru sahaja siap dan telah diserahkan kepada Khazanah.

“Saya sendiri pun belum masuk lagi melihat semuanya, tetapi bangunan itu sudah dinaik taraf dan saya rasa ia boleh menarik lebih ramai pelancong kerana ia bangunan warisan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI