fbpx
Zulkifli

Kutip derma di Terengganu perlu dapat QR Maidam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA TERENGGANU – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) memberi amaran keras terhadap mana-mana pihak yang melakukan pungutan khairat atau derma termasuk sepanjang bulan Ramadan di negeri ini tanpa kebenaran agensinya.

Yang Dipertua Maidam, Datuk Zulkifli Ali berkata, pihaknya telah mengambil inisiatif memperkenalkan kod respons pantas (QR) yang akan diberikan kepada pihak yang mendapat kebenaran mengutip derma di negeri ini.

Beliau berkata, inisiatif itu bertujuan mencegah sebarang aktiviti penyelewengan dana awam di negeri ini dan kod QR itu mengandungi butiran berhubung tujuan pungutan khairat yang mendapat kebenaran Maidam.

“Orang ramai boleh mendapat kepastian kutipan derma yang dipohon pihak tertentu dengan mengimbas kod QR berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Zulkifli berkata, Maidam akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang memungut khairat tanpa kebenaran mengikut Subseksyen 90(4) Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Terengganu) 2001.

Katanya, kesalahan mengutip derma secara haram di negeri ini boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

“Ketegasan Maidam terbukti apabila sebanyak 23 kes pungutan derma tanpa kebenaran di Terengganu telah dibanteras dan didakwa di Mahkamah Syariah sepanjang tahun lalu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN