PETALING JAYA – Orang ramai berpeluang menikmati diskaun saman trafik sekiranya aktif menyalurkan maklumat berkaitan kesalahan lalu lintas, menerusi cadangan yang dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menerusi infografik yang dimuat naik di Facebook rasmi PDRM, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik mencadangkan pemberian ganjaran atau merit kepada individu yang tampil sebagai pelapor kesalahan trafik.
Antara cadangan ganjaran tersebut ialah diskaun saman trafik kepada mereka yang aktif melaporkan kesalahan, selain pemberian mata merit atau insentif tertentu kepada pelapor.
Menurut PDRM, langkah itu bertujuan menggalakkan penglibatan orang awam sebagai ‘mata dan telinga’ pihak berkuasa dalam usaha memperkukuh penguatkuasaan undang-undang jalan raya.
“Pengiktirafan rasmi sebagai pemberi maklumat kepada pihak berkuasa juga dicadangkan sebagai salah satu bentuk ganjaran,” menurut kenyataan pada infografik berkenaan.
Cadangan tersebut dikemukakan susulan saranan mewajibkan pemasangan kamera papan pemuka atau ‘dashcam’ pada kenderaan pengguna jalan raya.
Infografik tersebut turut menerangkan kelebihan memasang alat papan pemuka (dashcam) kerana ia dilihat mampu menyediakan rakaman sebagai bukti sah bagi membantu siasatan kemalangan dan kes langgar lari, selain mempercepatkan proses mengenal pasti pesalah.
Dalam masa sama, PDRM berpandangan pemasangan peranti itu berpotensi meningkatkan tahap keselamatan jalan raya kerana pemandu lebih berhati-hati apabila mengetahui setiap pergerakan dirakam.
Sehubungan itu, orang ramai dipelawa untuk menyatakan pandangan berhubung cadangan ganjaran tersebut di ruangan komen media sosial PDRM. – KOSMO! ONLINE














