SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah setiap pembangunan rumah ibadat dijalankan mengikut undang-undang yang berkuat kuasa dan tadbir urus yang baik.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, Sultan Sharafuddin menekan perkara itu perlu dipatuhi khususnya pembangunan kuil-kuil Hindu agar ia dilaksanakan dengan teratur dari aspek perundangan dan selaras dengan perancangan bandar yang mampan dan terancang.
“Baginda telah disembah maklum oleh kerajaan negeri berhubung statistik pembinaan kuil Hindu tanpa kebenaran di negeri ini sehingga 31 Januari lalu adalah sebanyak 687 buah kuil.
“Ini membabitkan 388 buah kuil yang dibina di tanah milik Kerajaan dan 299 buah kuil dibina di atas tanah milik persendirian,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah di sini, hari ini.
Jelas beliau, jumlah kuil tanpa kebenaran ini adalah tinggi jika dibandingkan dengan populasi masyarakat India beragama Hindu sekitar lebih kurang 11.3 peratus di Selangor.
Jumlah ini pun tidak mengambil kira jumlah kuil di seluruh negeri Selangor yang telah didirikan secara sah yang telah mendapat kebenaran pihak berkuasa negeri Selangor.
“Baginda selaku Ketua Agama Islam di Selangor sentiasa mengambil berat sensitiviti masyarakat berbilang kaum dan agama selaras dengan prinsip toleransi yang menjadi teras keharmonian masyarakat di Selangor.
“Sultan Sharafuddin sentiasa menekankan bahawa setiap rumah ibadat perlu dibina berdasarkan permohonan yang dibuat dan mendapat kelulusan sah daripada pihak kerajaan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta mengikut segala perundangan dan garis panduan yang telah ditetapkan, ” tegasnya.
Mengulas lanjut, Mohamad Munir berkata, baginda turut berpendirian sebarang pembinaan mana-mana rumah ibadat tanpa kelulusan yang sah yang melibatkan pencerobohan terhadap tanah kerajaan dan persendirian akan menimbulkan pertelingkahan antara penganut pelbagai agama yang akhirnya menyebabkan ancaman dan risiko keselamatan kepada negeri dan negara ini.
“Kerajaan dan PBT pula diingatkan supaya sentiasa meneliti setiap permohonan pembinaan rumah ibadat agar diproses secara telus, adil dan tersusun tanpa mengetepikan peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
“Aspek pemantauan juga perlu sentiasa dilakukan oleh pihak berkuasa agar pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran di tanah-tanah kerajaan dan tanah persendirian dapat dibanteras dan dikawal,” katanya.
Terdahulu, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 7 Februari lalu yang tidak bersetuju dengan pembinaan mana-mana rumah ibadat yang dibina tanpa mengikuti peraturan dan undang-undang yang ditetapkan telah mendapat sokongan sepenuhnya dari Sultan Sharafuddin.
Pendirian itu ditegaskan sekali lagi oleh Anwar ketika mengadap Sultan Selangor, kelmarin. – KOSMO! ONLINE














