fbpx
Mohd Khalid bercakap pada Majlis Sidang Media di Bukit Aman, hari ini. Foto oleh MOHD FARIZWAN HASBULLAH/KOSMO!

Sindiket pecah rumah aktif Johor, ketua 22 tahun diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan satu sindiket pecah rumah dan premis perniagaan yang aktif di Johor selepas menahan dua lelaki pada 24 Januari lalu, membabitkan kerugian melebihi RM1 juta.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, pihaknya melancarkan Op Shutter dan berjaya menahan dua suspek masing-masing berusia 22 dan 26 tahun.

“Kumpulan berkenaan beroperasi secara terancang dan berkumpulan, menyebabkan kerugian besar kepada mangsa serta menjejaskan rasa selamat dalam kalangan masyarakat.

“Sindiket itu diketuai seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun dan dianggotai lima individu berumur antara 22 hingga 38 tahun yang merupakan penjenayah berulang serta aktif sejak tahun 2022 hingga Oktober 2025,” katanya pada sidang akhbar berhubung kejayaan Op Bugil dan Op Shutter di sini, hari ini.

Mohd Khalid berkata, kumpulan itu menyasarkan rumah teres kosong serta premis perniagaan berpintu shutter sebelum mengumpil masuk menggunakan peralatan seperti kuku kambing atau pisau pemotong.

“Suspek kemudian menggeledah premis dan melarikan barangan berharga termasuk barang kemas, wang tunai serta kenderaan milik mangsa,” katanya.

Beliau berkata, dua suspek berkenaan ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“(Manakala) empat lagi ahli kumpulan yang berusia antara 22 hingga 38 tahun pula telah dikenal pasti dan kini berada dalam tahanan di Penjara Kluang, Johor atas kesalahan lain,” ujarnya.

Menurutnya, semua suspek memiliki rekod jenayah lampau membabitkan kes rompakan berkumpulan dan bersenjata, pecah rumah, curi dalam bangunan, pemerasan, ugutan jenayah, pelupusan harta curi dan pengedaran dadah.

“Penahanan itu, pihak polis berjaya menyelesaikan 31 kes dan melumpuhkan sepenuhnya satu sindiket pecah rumah dan pecah kedai yang aktif di Johor,” katanya.

Beliau berkata, kertas siasatan dirujuk kepada Unit Jenayah Berat, Jabatan Peguam Negara pada 5 Februari lalu dan pihak pendakwaan bersetuju menuduh kesemua enam suspek di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan.

“Pertuduhan akan dilaksanakan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Khamis ini,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI