fbpx
Ronald Kiandee

Muhyiddin perlu berundur daripada jawatan Presiden – Ronald Kiandee

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ronald Kiandee menggesa presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berundur daripada jawatan tersebut.

Ini kerana kata beliau, langkah tersebut boleh memulihkan serta membina semula kekuatan sebenar parti itu, termasuk memperkukuhkan hubungan strategik bersama rakan-rakan komponen Perikatan Nasional (PN).

Jelas beliau, Muhyiddin jelas gagal menguruskan krisis dalaman parti dengan berkesan, sehingga ia dibiarkan berlarutan ke tahap yang hampir mustahil untuk dipulihkan.

“Lebih malang, beliau dilihat menggunakan seluruh baki kekuatan yang ada semata-mata untuk mempertahankan kedudukannya sebagai Presiden demi memenuhi agenda peribadi untuk kembali menjadi Perdana Menteri.

“Ia termasuk menghalang laluan Datuk Seri Hamzah Zainudin daripada memimpin Bersatu pada masa hadapan,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Ahli Parlimen Beluran itu, beliau percaya hasrat murni kenyataan itu boleh diterima oleh seorang pemimpin berjiwa besar seperti Muhyiddin.

Apatah lagi pendirian itu selari dengan intipati kenyataan Muhyiddin di Singapura pada tahun 2008 terhadap Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, tindakan Lembaga Disiplin (LD) Bersatu untuk menghadapkan Hamzah atas beberapa pertuduhan jelas bersifat regresif serta bercanggah dengan usaha memperkukuhkan parti menjelang pilihan raya akan datang.

Lebih membimbangkan katanya, tindakan LD menghadapkan Ketua-Ketua Bahagian termasuk wakil rakyat Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri yang menyokong Hamazah memperlihatkan penyalahgunaan prosedur disiplin secara terdesak.

Terutamanya, bagi membungkam suara pimpinan utama parti daripada terus menyampaikan pandangan, teguran dan maklum balas demi kelangsungan serta masa depan Bersatu.

“Keadaan ini menyebabkan Bersatu pada pandangan rakyat kelihatan semakin hilang arah dan tersasar daripada matlamat perjuangan sebenar, seolah-olah perjuangan parti kini hanya tertumpu kepada usaha mengekalkan kuasa Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Ia juga dilihat melindungi kelompok penyokong pemimpin tertentu, tanpa mengambil kira hubungan dan kepercayaan rakan-rakan parti sahabat dalam gabungan PN,”katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI