KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melengkapkan siasatan berhubung insiden tembakan yang membabitkan tiga lelaki di Durian Tunggal, Melaka, pada November tahun lalu dan kini menunggu arahan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, pihaknya sedang mengusahakan segala keperluan tambahan seperti yang diminta AGC, termasuk mendapatkan beberapa bukti baharu bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.
“Kita telah melengkapkan siasatan dan jika ada perkembangan, kita akan maklumkan dari semasa ke semasa.
“Kita sedang usahakan mana yang diperlukan serta menunggu arahan lanjut daripada AGC,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar berhubung kejayaan menumpaskan Op Bugil dan Op Shutter di sini, hari ini.
Pada 16 Disember tahun lalu, PDRM mengesahkan kertas siasatan berhubung insiden tembakan membabitkan tiga lelaki di Durian Tunggal telah dirujuk dan dikemukakan kepada AGC.
Terdahulu Mohd. Khalid dalam kenyataan berkata, hasil penelitian, AGC bersetuju dengan syor PDRM dan menuntut supaya siasatan diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Media sebelum ini melaporkan, tiga lelaki berusia antara 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka melibas parang terhadap seorang anggota polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal.
Akibat serangan pada November lalu, sekitar pukul 4.30 pagi itu, anggota polis berpangkat koperal berusia awal 30-an parah pada lengan kiri. – KOSMO! ONLINE














