fbpx
Saifuddin Nasution - Foto JAPEN

KDN bentang pindaan Akta Pendaftaran Penjenayah tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri sedang dalam proses untuk meminda Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang Yang Tidak Diingini 1969, istilahnya Akta 7.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, akta itu merupakan punca kuasa perundangan untuk kita mendaftarkan (individu) sabitan kesalahan-kesalahan di dalam daftar penjenayah.

Beliau berkata, pihaknya telah membentangkan kepada Jemaah Menteri pada 21 Mei 2025 bagi memulakan usaha untuk meminda akta tersebut.

“Pindaan ini tentunya bertujuan untuk memberi peluang kedua kepada mereka yang terlibat dan ini selaras kerana kita mahu menterjemahkan nilai ihsan dan keadilan sosial dalam semangat Madani.

“Jadi antara komponen penting dalam pindaan ini nanti ialah kita mahu memperkenalkan mekanisme SPENT, dalam bahasa kita yang paling hampir ialah nyahaktif, bagi membolehkan mereka yang terlibat itu, yang tidak melakukan kesalahan baharu dalam tempoh munasabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) yang mahu tahu adakah Kementerian bercadang untuk menghapuskan rekod-rekod bekas banduan bagi memudahkan mereka mencari pekerjaan.

Saifuddin berkata, tempoh yang munasabah itu adalah tempoh yang boleh dianggap sebagai tiada rekod.

“Jadi dengan pindaan ini, individu itu, kerana dia tidak melakukan kesalahan berulang dalam tempoh yang ditetapkan, kita panggil Crime Free Period.

“Selepas dia menjalani hukuman dan dengan cara itu, kita bolehlah (menganggap demikian), melainkan dia ini melakukan kesalahan-kesalahan yang serius. Itu berbeza. Bila kita pindah nanti dan kita bentangkan, kita bahaskan, kita sediakan untuk membuat keputusan dalam Dewan ini,” katanya.

Beliau berkata, dalam mekanisme peluang kedua ini kerajaan turut mengambil kira beberapa amalan baik sebagai penanda aras antarabangsa.

“Kita semak negara seperti United Kingdom, Singapura, Brunei dan Australia (yang sedang kita lakukan sekarang), yang membenarkan pengecualian rekod jenayah tertentu selepas tempoh bebas jenayah dan tertakluk kepada syarat.

“Cadangan ini sekarang, progresnya berada di peringkat semakan oleh Jabatan Peguam Negara dan saya bercadang untuk membentangkannya pada sesi Parlimen tahun ini juga,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, sejak akta itu dikuatkuasakan pada 1969, seramai 2.63 juta individu telah direkodkan dalam daftar penjenayah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI