RIYADH – Bintang Al-Nassr, Cristiano Ronaldo digesa belajar menghormati atau ‘berambus’ jika mahu terus mengekalkan keputusan untuk mogok terhadap keputusan pemilik kelab sehingga terlepas dua aksi Liga Pro Arab Saudi awal bulan ini.
Sebagai rekod, Ronaldo yang kini berusia 41 tahun enggan diturunkan sebagai protes terbuka terhadap pengurusan Dana Pelaburan Awam Arab Saudi (PIF) yang tidak bersikap adil selepas memiliki empat kelab elit di negara itu termasuk Al Hilal, Al Ahli dan Al Ittihad.
Kemarahan Ronaldo memuncak selepas Al Hilal berjaya melengkapkan perpindahan sensasi Karim Benzema dari Al Ittihad secara percuma sekali gus menyukarkan peluang Al-Nassr untuk menjuarai gelaran liga musim ini.
Pemerhati bola sepak Arab Saudi, Walid Al-Faraj mengkritik tindakan bintang Portugal itu yang dianggap seperti tidak sedar diri apabila melakukan kontroversi di luar batas.
“Ronaldo kena sedar diri di mana dia berada ketika ini. Negara ini bernama Arab Saudi, bukan Arab Ronaldo dan mungkin dia keliru antara peranan sebagai duta dan pengurus pasukan.
“Dia hanyalah seorang pemain bola yang dibayar jutaan Riyal, jauh lebih banyak daripada apa yang pernah diperoleh di bumi Eropah. Saya harap tolong belajar menghormati liga ini atau dia boleh pergi.
“Bayangkan pemain Manchester City enggan bermain sebagai protes terhadap keputusan pemilik kelab atau pemain Arsenal memboikot dua perlawanan kerana tidak puas hati dengan kontrak. Ia mustahil berlaku di Liga Perdana Inggeris (EPL),” kata Walid. – AGENSI














