JOHOR BAHRU – Sepasang lelaki dan wanita ditemui maut selepas terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah teres dua tingkat di Jalan Tenang 14, Taman Damai Jaya di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 5.28 pagi itu, kebakaran dipercayai bermula di ruang tamu tingkat bawah sebelum api merebak dengan pantas ke bahagian lain kediaman berkenaan.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor memaklumkan, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Mohamad Kamal Shaari berkata, 40 peratus rumah jenis teres itu telah terbakar
Menurut Mohamad Kamal, semasa pemeriksaan di tingkat atas, anggota bomba menemukan dua mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan telah meninggal dunia di lokasi kejadian.
Jelasnya, mangsa masing-masing seorang lelaki berusia 22 tahun dan seorang wanita berusia 21 tahun dipercayai gagal menyelamatkan diri akibat terhidu asap tebal.
Kedua-dua mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut termasuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
Tambahnya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian yang dialami pemilik rumah. – KOSMO! ONLINE














