NILAI — Dua lelaki bersenjatakan parang bertindak menyamun sebuah kedai runcit di kawasan perumahan Mantin, semalam, sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 5.10 petang, manakala laporan polis diterima pada pukul 6.49 petang.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek yang disyaki warga tempatan memakai topi keledar ketika melakukan samun dan bertindak mengugut mangsa sebelum meragut rantai emas milik mangsa.
“Suspek kemudian melarikan diri dari tempat kejadian dengan sebuah motosikal dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan. Mangsa mengalami kerugian kira-kira RM2,000,” katanya ketika dihubungi.
Ujar beliau, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE














