ALOR SETAR – Tempoh reman seorang pemuda bagi membantu siasatan kes pembunuhan tragis seorang eksekutif bank di Taman Sultan Abdul Halim, Jalan Tanjung Bendahara, di sini pada 2 Februari lalu disambung tujuh hari lagi.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, suspek berusia 29 tahun direman sehingga 15 Februari ini.
Menurutnya, siasatan ke atas suspek diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.45 pagi, 2 Februari lalu, Zahrullail Basir, 52, seorang eksekutif bank, ditemukan maut dengan tiga kesan tikaman pada badan di rumahnya di Taman Sultan Abdul Halim.
Anak sulung mangsa kemudian ditahan di dalam sebuah bas persiaran di Kilometer 441.5 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan yang dipercayai dalam perjalanan ke Selangor.
Pemuda terbabit sebelum ini direman selama tujuh hari sehingga hari ini dengan kes disiasat di bawah Seksyen 302 KK.
Hasil siasatan awal polis mendapati masalah kewangan dan sikap panas baran suspek disyaki menjadi motif pembunuhan tersebut.
Suspek yang merupakan pekerja kilang di Pulau Pinang dikatakan mempunyai bebanan hutang along di sekitar negeri itu, selain perlu membayar sewa motosikal bagi perkhidmatan p-hailing sebanyak RM700 sebulan serta sewa bilik. – KOSMO! ONLINE














