fbpx
Gambar hiasan.

Penolong pengurus rugi RM1.3 juta diperdaya ‘phone scam’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BENTONG – Seorang penolong pengurus kerugian RM1.3 juta selepas terperdaya dengan kes penipuan melalui panggilan telefon yang menyamar sebagai pihak polis.

Kejadian bermula pada 11 Disember tahun lalu selepas wanita berusia 55 tahun itu menerima panggilan daripada nombor tidak dikenali mendakwa pihak syarikat kurier dan memaklumkan kononnya mangsa menerima bungkusan berisi barang terlarang.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, panggilan itu kemudian disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis.

“Suspek memperdaya mangsa dengan mendakwa wang simpanannya perlu disiasat bagi mengenal pasti sumber menyebabkan wanita tersebut berasa takut dan cemas.

“Mangsa seterusnya diarah untuk mengeluarkan simpanan akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pelaburan sebelum memasukkan wang tersebut ke dalam tiga akaun bank yang diberikan suspek,” katanya hari ini.

Menurut beliau, mangsa melakukan sebanyak lima transaksi pemindahan wang ke akaun tersebut sejak 24 Disember 2025 hingga 4 Januari lalu yang berjumlah RM1,313,210.

Katanya, mangsa hanya menyedari dia ditipu apabila gagal menghubungi suspek selepas nombor telefonnya disekat.

Justeru polis menasihatkan orang ramai yang menerima panggilan meragukan supaya segera membuat semakan dengan polis atau agensi kerajaan berkaitan bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan.

“Masyarakat diminta supaya menyemak nombor akaun di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ sebelum membuat transaksi. Mereka yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan dinasihatkan segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan di talian 997,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI