DALAM dunia yang semakin pantas bergerak, kesibukan sering dianggap sebagai lambang kejayaan. Jadual yang padat, mesej tidak putus-putus, mesyuarat bertindih dan tuntutan kerja tanpa henti menjadi rutin harian kebanyakan individu.
Namun di sebalik kesibukan yang dipuja ini, semakin ramai sebenarnya sedang kehilangan sesuatu yang jauh lebih berharga iaitu ketenangan jiwa.
Fenomena sibuk sehingga terlupa jiwa kini bukan lagi isu terpencil, malah telah menjadi realiti sosial yang membimbangkan.
Ramai individu kelihatan berfungsi dengan baik secara luaran tetapi hakikatnya mengalami keletihan emosi, kekosongan makna hidup dan tekanan psikologi berpanjangan.
Kesibukan yang berlebihan sering disalah tafsir sebagai produktiviti. Hakikatnya, produktiviti tanpa keseimbangan emosi hanya membawa kepada keletihan mental (burnout).
Individu mungkin mencapai sasaran kerja, namun dalam masa sama kehilangan hubungan dengan diri sendiri, keluarga dan nilai kehidupan.
Kajian psikologi menunjukkan bahawa tekanan kronik akibat beban kerja dan kekurangan rehat emosi boleh mencetuskan keresahan, kemurungan, gangguan tidur serta penurunan motivasi hidup.
Lebih membimbangkan, ramai yang tidak menyedari simptom ini kerana telah terlalu lama ‘menormalkan’ keletihan jiwa.
Antara tanda awal krisis jiwa adalah rasa kosong walaupun sibuk, hilang keseronokan terhadap perkara yang dahulunya membahagiakan, mudah marah dan keletihan tidak pulih, biarpun selepas berehat.
Jiwa yang terabai akan mula ‘bersuara’ melalui emosi yang tidak stabil dan kesihatan mental merosot.
Namun, budaya masyarakat yang memuja kesibukan menyebabkan ramai memilih untuk diam.

Mengaku letih emosi dianggap lemah, sedangkan hakikatnya kesedaran terhadap keadaan jiwa adalah satu bentuk kekuatan.
Kesibukan tidak dapat dielakkan tetapi pengabaian jiwa adalah satu pilihan.
Menyantuni diri tidak memerlukan perubahan besar, sebaliknya bermula dengan kesedaran kecil dengan meluangkan masa untuk bernafas, berehat tanpa rasa bersalah, memperlahankan langkah dan mendengar keperluan emosi.
Malah, menyantuni diri dengan memberi ruang berfikir sejenak tentang diri dan rasa akan membuahkan sebuah jiwa yang segar.
Amalan refleksi diri, sokongan sosial, aktiviti kerohanian dan bantuan profesional seperti kaunseling perlu dinormalisasikan sebagai sebahagian daripada penjagaan kesihatan, bukan tanda kegagalan.
Hidup bukan sekadar untuk dikejar tetapi dirasai. Kesibukan yang tidak disertai makna hanya akan menjadikan manusia mesin yang letih, bukan insan sejahtera.
Sudah tiba masanya masyarakat menilai semula definisi kejayaan bukan sekadar sejauh mana kita mampu bertahan dalam kesibukan, tetapi sejauh mana kita mampu menjaga jiwa dalam perjalanan hidup ini.
Persoalan yang paling penting hendak diletakkan adalah ke mana arah tuju kita, dan apa yang kita cari selama ini?
Kerana pada akhirnya, kejayaan sebenar bukanlah hidup yang paling sibuk, tetapi jiwa paling tenang.
Seperti firman Allah SWT dalam surah al-Fajr yang bermaksud: “Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan reda dan diredai. Maka masuklah engkau dalam kalangan hamba-hamba-Ku dan masuklah ke dalam syurga-Ku.”
PENULIS merupakan Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)














