KUALA LUMPUR – Dua lelaki dan seorang wanita warga asing yang disyaki terlibat dalam pengedaran dadah di sekitar Kuala Lumpur diberkas polis menerusi serbuan di sebuah kediaman di Jalan Tun Razak, semalam.
Operasi bermula pukul 5.30 petang itu dijalankan oleh KL Strike Force susulan maklumat dan risikan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kesemua suspek dipercayai aktif mengedar dadah berbentuk tong gas yang disertakan bersama belon kepada pelanggan di kelab malam sekitar Kuala Lumpur sejak tiga bulan lepas.
“Hasil serbuan, polis merampas lima tong gas bertulis helium disyaki mengandungi dadah, tiga peket plastik berisi serbuk disyaki dadah methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dan empat katrij disyaki dadah methamphetamine.
“Tiga suspek yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki dan wanita warga China serta seorang lelaki warga Hong Kong berusia antara 26 hingga 36 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Fadil berkata, penahanan itu berjaya membawa kepada tangkapan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun di Jalan Tun Razak bersama sejumlah dadah.
“Polis merampas 14 kotak mengandungi botol berisi gas disyaki dadah jenis MDMA dengan anggaran anggaran berat 58.24 kilogram, serta tujuh bungkusan belon.
“Sebuah kereta jenis Perodua turut dirampas menjadikan keseluruhan rampasan berjumlah RM69,491,” ujarnya.
Tambahnya, saringan air kencing ke atas ketiga-tiga suspek warga asing adalah positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine dan ketamin.
“Kesemua suspek akan direman hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a), Seksyen 39a(2), Seksyen 39a(1) dan Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – KOSMO! ONLINE














