PUTRAJAYA- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima 30 unit jentera Fire Rescue Tender (FRT) baharu bagi menggantikan jentera usang yang melebihi usia 20 tahun.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, perolehan jentera bernilai kira-kira RM60 juta itu bertujuan meningkatkan tahap kecekapan serta kesiapsiagaan JBPM dalam menghadapi sebarang insiden kecemasan.
Menurutnya, jentera berteknologi tinggi itu diperoleh hasil kerjasama strategik antara Kerajaan Malaysia dan China menerusi hubungan diplomatik erat kedua-dua negara.
“Penerimaan ini adalah hasil perbincangan rundingan antara Perdana Menteri, Datuk Anwar Ibrahim dan juga Perdana Menteri China, Lee Qiang sempena lawatan rasmi ke negara kita pada tahun lepas,” katanya selepas Majlis Penyerahan Jentera Bomba dan Ops Siaga Raya Tahun 2026 di sini, hari ini.
Nga berkata, kesemua jentera FRT tersebut akan diagihkan ke balai-balai bomba di seluruh negara yang dikenal pasti mempunyai keperluan mendesak.
“Keutamaan diberikan kepada balai yang masih menggunakan jentera lama dan uzur bagi memastikan tindak balas kecemasan dapat dilaksanakan dengan lebih pantas dan berkesan,” katanya.
Untuk makluman, JBPM Johor bakal menerima lapan buah unit jentera, diikuti Selangor tujuh buah unit dan Perak enam unit.
Selain itu, dua unit diperuntukkan kepada JBPM Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan dan Pahang, manakala Melaka menerima satu unit. – KOSMO! ONLINE














