SEREMBAN – Negeri Sembilan mengharungi detik kejam ketika tewas 0-1 kepada Selangor FC pada aksi pertama suku akhir Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, sebentar tadi.
Selepas berjaya mengekang serangan The Red Giants dengan baik sepanjang 90 minit permainan, pemeriksaan Video Bantuan Pengadil (VAR) membuka peluang buat pelawat memperoleh gol kemenangan.
Peratusan penguasaan permainan nyata berpihak kepada Selangor FC yang turut dihidangkan beberapa peluang terbaik.
Bagaimanapun, penjaga gol tuan rumah, Azri Ghani juga menjadi cerita utama pada aksi 45 minit pertama khususnya menerusi tindakan cemerlang ketika menafikan percubaan pasukan pelawat daripada Chrigor Moraes.
Tempoh 10 minit terakhir babak pertama menyaksikan Negeri Sembilan mula mengatur serangan namun tiada gerakan berkualiti mampu dihasilkan.
Selangor FC menyambung aksi dengan tempo lebih perlahan dan ia seakan memberikan ruang buat Negeri Sembilan menghadirkan tekanan kepada benteng pertahanan pelawat.
Walaupun ada beberapa gerakan menarik, tuan rumah sering dikecewakan oleh hantaran akhir sekali gus beri tugas lebih mudah buat penjaga gol lawan, Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi.
Drama perlawanan ini bertambah menarik apabila jaringan Moraes pada minit ke-77 dibatalkan selepas pemeriksaan VAR mendapati bola terlebih dulu terkena tangan penyerang dari Brazil berkenaan.
Pemeriksaan VAR pada masa kecederaan menyaksikan pengadil perlawanan, Tuan Mohamad Yaasin Tuan Mohd Hanafiah memberikan penalti buat pelawat dan kesempatan itu tenang disempurnakan oleh Moraes.
Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Sabtu ini. – KOSMO! ONLINE














