MELAKA – Seorang pelajar universiti berusia 21 tahun dan adik perempuannya berdepan detik cemas apabila dikejar seorang lelaki bersenjatakan pisau di kawasan parkir sebuah pusat beli-belah di Jalan Lagenda di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, dua beradik berkenaan dikatakan sedang menunggu ahli keluarga masuk ke dalam kenderaan sebelum didatangi seorang lelaki tidak dikenali.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek kemudian bertindak agresif kerana menyangka mangsa merupakan wanita warga Vietnam yang dipercayai telah menipunya sehingga mengalami kerugian kira-kira RM10,000.
“Suspek telah memarahi dan menjerit ke arah mangsa sambil memegang sebilah pisau.
“Dua beradik itu yang berasa takut bertindak melarikan diri ke arah pusat beli-belah berkenaan sambil dikejar suspek,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Jelasnya, suspek bagaimanapun dipercayai telah terjatuh ketika kejadian tersebut dan gagal mendapatkannya mangsa sebelum kedua-duanya masuk ke dalam bangunan berkenaan.
“Mangsa dan adiknya tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu, namun membuat laporan polis susulan bimbang dengan keselamatan dirinya.
“Pasukan polis kemudian tiba di lokasi dan menahan suspek yang berusia 50 tahun serta merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan semasa kejadian,” ujarnya.
Terdahulu, difahamkan suspek turut mengunci dirinya di dalam kenderaan yang diparkir di kawasan pusat beli-belah itu kira-kira tiga jam sebelum berjaya diberkas polis.
Christopher berkata, hasil ujian saringan air kencing terhadap supek menunjukkan positif dadah jenis methamphetamine dan lelaki itu kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.-KOSMO! ONLINE














