fbpx
Kereta dinaiki mangsa bersama tiga ahli keluarganya terjunam ke dalam longkang di Lebuh SPA, Melaka, petang tadi.

Nenek maut, cucu 2 bulan terselamat kereta masuk longkang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Seorang wanita maut, manakala tiga ahli keluarganya terselamat selepas kereta dinaiki mereka terjunam ke dalam longkang di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) Bertam Impian, di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa, Teo Cho Khin, 55, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala suami, anak perempuan serta cucu lelaki berusia dua bulan 25 hari terselamat.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian kereta jenis Perodua Bezza dinaiki mereka dalam perjalanan dari Tengkera ke Pasaraya Angee.

Katanya, kenderaan tersebut telah dipandu suami si mati berusia 68 tahun dan nahas dipercayai berlaku ketika warga emas itu cuba memarkir kenderaan.

“Pemandu dipercayai secara tidak sengaja telah menekan pedal minyak menyebabkan kereta dinaiki empat sekeluarga itu terbabas ke hadapan lalu terjunam ke dalam longkang berhampiran kawasan parkir.

“Akibat kemalangan itu mangsa yang duduk di tempat duduk belakang mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perubatan,”katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambahnya, suami mangsa hanya mengalami sakit di bahagian dada, manakala anak perempuan mereka yang duduk di tempat hadapan kiri mengalami bengkak di bahagian dahi sebelah kiri.

“Bayi lelaki terbabit dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dan berada dalam keadaan selamat.

“Pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati cuaca dalam keadaan baik, cerah dan tidak hujan ketika kemalangan berlaku,” ujarnya.

Christopher berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN