PETALING JAYA – Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad menyindir Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menggunakan ilmu kasyaf dalam isu pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Menurut beliau, kajian berhubung perkara itu oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) belum siap, tetapi Takiyuddin yang juga Ketua Whip Perikatan Nasional ‘sudah tahu’ hasil kajian tersebut.
“Begitu sekali universiti Islam dipandang rendah, kajian belum siap lagi, SU (setiausaha) parti Islam guna ilmu kasyaf dah tahu hasil kajian dan mampu mempertikaikan kajian,” katanya sinis di media sosial hari ini.
Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), kasyaf bermaksud penyingkapan rahsia alam ghaib melalui pandangan mata hati.
Terdahulu, Media melaporkan Takiyuddin mempertikaikan pemilihan UIAM selaku institusi pendidikan yang melaksanakan kajian berhubung cadangan pelaksanaan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Beliau dipetik sebagai berkata, PN ingin tahu atas dasar apa UIAM dipilih dalam pelaksanaan kajian itu sedangkan terdapat universiti lain yang mempunyai lebih kepakaran bagi tujuan berkenaan. – KOSMO! ONLINE














