fbpx
Lokman sedang melakukan pemeriksaan salah seorang warga asing yang ditahan di sebuah pusat membeli-belah di Cheras, malam tadi. Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON/KOSMO!

‘Bayar RM5,000 nak masuk Malaysia, tapi…’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – “Saya datang sini kerana mahu mencari kerja, tapi bila sampai, ejen tidak dapat dihubungi, pasport pula dibawa lari.”

Itu luahan Sosilawati Muhammad Nur, 40, seorang wanita dari Medan, Indonesia yang ditahan dalam Op Selera dan Op Sapu Ibu Pejabat Jabatan Imigresen (JIM) di sebuah pusat beli-belah di Cheras, di sini, semalam.

Menurut Sosilawati, dia baru seminggu tiba di Malaysia bagi mencari pekerjaan, namun mendakwa ditipu sebaik tiba di Johor selepas menyerahkan bayaran RM5,000 secara tunai kepada seorang ejen yang menguruskan kemasukannya.
Ibu empat orang anak itu berkata, pasport miliknya turut diambil ejen terbabit, tetapi tidak dipulangkan sehingga kini, malah usaha menghubungi individu berkenaan gagal apabila nombornya disekat.

“Ini kali kedua saya datang ke Malaysia selepas tahun 2020 untuk mencari pekerjaan. Saya cuba hubungi ejen itu tapi sudah disekat.

“Dengan hanya ada RM150, saya datang ke Kuala Lumpur untuk cari kawan saya di sini supaya boleh cari kerja. Baru nak jumpa kawan, dah kena tahan,” katanya kepada pemberita.

Sosilawati turut mendakwa perjalanan yang ditempuhnya ke ibu negara amat sukar, termasuk terpaksa berjimat dan bergantung kepada bantuan rakan, malah ada ketika terpaksa tidur di luar sementara menunggu urusan pekerjaan yang dijanjikan.

Sementara itu, seorang lagi pemuda warga Myanmar berusia lingkungan 20-an juga mengakui tidak mempunyai sebarang pas atau dokumen perjalanan yang sah walaupun telah menetap di Malaysia selama tiga tahun.

“Saya baru kerja kedai makan sushi empat bulan. Rumah pun tak ada, hanya tidur di jalanan,” katanya.

Terdahulu, operasi bermula pukul 8 malam itu disertai 112 pegawai dengan menjalankan pemeriksaan di 19 premis kedai makan yang dipercayai dimonopoli warga asing di kawasan berkenaan.

Sebelum itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, seramai 890 individu diperiksa melibatkan 458 warga asing dan 432 warga tempatan.

“Daripada jumlah itu, 152 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan terdiri daripada 94 warga Myanmar, 40 warga China, enam warga Indonesia, dua warga Bangladesh dan 10 lain-lain negara yang kesemuanya berusia 21 hingga 42 tahun.

“Kesemua tahanan dikesan melakukan pelbagai kesalahan imigresen iaitu tinggal lebih masa, tidak mempunyai dokumen perjalanan sah serta salah guna permit atau visa yang diberikan,” katanya pada sidang akhbar selepas operasi penguatkuasaan di sebuah pusat beli belah di sini hari ini.

Katanya lagi, kesemua tahanan akan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen KLIA untuk siasatan dan tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan- Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

“JIM akan melaksanakan operasi penguatkuasaan secara berterusan dan orang ramai serta majikan diingatkan sekali lagi agar tidak melindungi PATI atau terpaksa berhadapan dengan tindakan undang-undang,” tegasnya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI