TELUK INTAN – Seorang peniaga berdepan tindakan setelah menyimpan gas petroleum cecair (LPG) serta 39 tong LPG tanpa lesen di sebuah stor di premis kediaman di Hutan Melintang, Teluk Intan.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, pihaknya dari KPDN Cawangan Teluk Intan melakukan operasi terhadap lokasi tersebut pada pukul 5.30 petang setelah risikan dan pemantauan selama seminggu dilaksanakan terhadap premis berkenaan.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan telah menemui sejumlah tong gas petroleum cecair yang disimpan di sebuah stor bersebelahan premis kediaman.
“Seorang lelaki warga tempatan berumur 31 tahun yang mengaku sebagai pemilik kediaman berkenaan telah memaklumkan bahawa gas petroleum cecair yang ditemui adalah untuk tujuan jualan kepada pelanggan di kawasan sekitar,” katanya di Teluk Intan, hari ini.
Kamalludin berkata, pemilik kediaman tersebut telah ditahan kerana gagal mengemukakan sebarang permit, lesen atau kebenaran daripada pengawal bekalan bagi memiliki barang kawalan gas petroleum cecair yang ditemui di premis berkenaan.
Sehubungan itu, katanya, satu tindakan kes telah diambil dengan menyita sebanyak 28 tong gas LPG berisi dan 11 tong kosong pelbagai jenama daripada pemilik kediaman tersebut.
“Dalam pemeriksaan yang sama, seorang individu warga tempatan turut ditahan ketika sedang memindahkan LPG daripada sebuah lori ke stor kediaman tersebut.
“Hasil daripada penahanan itu, sebanyak 63 tong gas LPG berisi dan 91 lagi kosong pelbagai jenama ditemui di atas lori telah disita kerana disyaki membekalkan barang kawalan berjadual kepada individu yang tidak mempunyai lesen atau permit sah,” katanya.
Beliau berkata, gas petroleum cecair serta sebuah lori telah disita dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM60,440.
“Kes ini akan disiasat di bawah Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 ke atas pemilik kediaman kerana disyaki berurusan secara borong atau runcit barang kawalan berjadual gas petroleum cecair tanpa lesen atau permit yang sah,” katanya. – KOSMO! ONLINE














