ALOR SETAR – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melakukan pemantauan secara berkala terhadap lima anak mangsa pembunuhan tragis di Taman Sultan Abdul Halim, Jalan Tanjung Bendahara, di sini Isnin lalu dalam memastikan kebajikan mereka terjaga.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Datuk Halimaton Saadiah Saad berkata, JKM juga bersedia untuk menyediakan sesi kaunseling kepada anak-anak mangsa yang didapati masih dalam keadaan trauma ekoran kejadian yang meragut satu-satunya penjaga mereka itu.
“Pelindung JKM melawat anak-anak ini semalam bersama wakil dari Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) di rumah mangsa. Anak ketiga memberi maklum balas yang baik dan memaklumkan bahawa mereka dalam keadaan baik, namun terkejut dengan kejadian yang berlaku.
“Anak-anak mangsa dimaklumkan bahawa pihak JKM bersedia untuk membantu dengan menyediakan kaunseling selain menjalankan pemantauan berkala agar kesejahteraan mereka terpelihara,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Katanya, kejadian yang berlaku amat menyedihkan apabila lima anak mangsa kini sebatang kara apatah lagi apabila tiga daripada mereka yang masih bersekolah menjadi saksi kejadian.
“Kita akan memantau lima anak mangsa yang berusia 28, 23, 18, 13 dan lapan tahun dari semasa ke semasa termasuk mengatur bantuan yang diperlukan memandangkan empat daripada mereka masih belajar,” ujarnya.
Akhbar ini pada Isnin lalu melaporkan seorang eksekutif, Zahrullail Basir, 52, ditemukan maut dengan tiga kesan tikaman serta kesan luka dan lebam pada anggota badan dalam kejadian pada pukul 8.45 pagi di rumahnya itu.
Susulan itu, anak sulung mangsa yang berusia 29 tahun ditahan reman selama tujuh hari bermula kelmarin untuk membantu siasatan kes tersebut. – KOSMO! ONLINE














