KUALA LUMPUR – Sebanyak 42 kes kematian dalam tahanan telah direkodkan bagi tahun 2025.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kematian tersebut melibatkan lapan kes di penjara dan 34 kes yang terdiri daripada 22 kes kematian dalam tahanan polis dan 12 kes di lokap.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kes berpunca daripada faktor kesihatan seperti serangan jantung, strok dan komplikasi penyakit kronik.
“Bagi memastikan ketelusan, setiap kes kematian disiasat secara menyeluruh oleh Polis Diraja Malaysia, termasuk bedah siasat, siasatan dalaman dan rujukan kepada Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis jika melibatkan isu tatakelakuan.
“Sebagai langkah pencegahan, Kementerian memastikan PDRM dan Jabatan Penjara Malaysia telah memperketat prosedur operasi standard pengurusan lokap dan penjara.
“Selain itu, turut dilaksanakan ialah saringan kesihatan awal dan pemantauan berkala terhadap tahanan dan banduan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Hassan Abdul Karim (PH-PASIR GUDANG) mengenai mengapa sejak akhir-akhir ini banyak kejadian kematian suspek di dalam lokap polis dan kematian tahanan di dalam penjara serta langkah yang telah diambil Kementerian untuk mencegah kejadian itu.
Sementara itu, Saifuddin berkata, kerajaan turut meningkatkan latihan intergriti dan pengendalian tahanan untuk anggota penguat kuasa.
“Penggunaan televisyen litar tertutup dan menjalankan audit pematuhan secara berkala turut diperluaskan.
“Kerajaan komited memastikan keselamatan dan kebajikan tahanan terpelihara dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku,” katanya. – KOSMO! ONLINE














