KUALA LUMPUR – Sebanyak 136,082 aduan berkaitan penipuan atau scam transaksi jual beli direkodkan sejak tahun 2023 hingga 2025, kata Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Datuk Armizan Mohd Ali berkata, daripada jumlah itu, 83,239 aduan berada di bawah bidang kuasa KPDN, dengan penipuan atas talian mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 33,400 aduan.
“Antara aduan utama yang diterima melibatkan harga barang atau perkhidmatan yang mengelirukan, kegagalan menerima barang atau perkhidmatan yang ditawarkan, serta barangan atau perkhidmatan yang diterima tidak seperti yang diiklankan.
“Selain itu, aduan turut membabitkan aktiviti cetak rompak atas talian, penjualan barangan tiruan menerusi platform digital, serta penglibatan dalam penajaan skim piramid secara dalam talian,” katanya di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) berkenaan jumlah kes penipuan atau scam melibatkan transaksi jual beli yang dilaporkan sejak 2023 hingga kini.
Armizan berkata, dalam tempoh 2023 hingga2025, sebanyak 1,136 kes telah dihasilkan melibatkan kesalahan di bawah Akta 599, Akta 730, Akta 500, Akta 71 dan Akta 723 dan jumlah kompaun keseluruhan berjumlah RM880,625.
“Bagi kes di bawah Akta 599 pula, sebanyak dua kes telah didakwa di mahkamah, melibatkan kesalahan di bawah peruntukan Seksyen 12, Akta 599 iaitu gambaran mengelirukan mengenai harga dengan jumlah keseluruhan denda yang telah dikenakan sebanyak RM16,500,” katanya. – KOSMO! ONLINE














