LONDON – Beratus-ratus penduduk sebuah pekan di Britain mendesak pihak berkuasa untuk menurap sebatang jalan yang dipenuhi lubang gergasi bersaiz manusia, lapor akhbar Metro UK.
Lubang pelbagai saiz itu membelenggu penduduk yang tinggal berhampiran laluan A1301 di Cambridgeshire.
Situasi itu menyebabkan mereka mengemukakan petisyen terhadap Majlis Perbandaran Cambridgeshire untuk menurap semula jalan dengan betul berbanding ditampal kerana cepat rosak.
Petisyen yang dilancarkan oleh ahli-ahli Parti Hijau, Miranda Fyfe dan Lee Denison berjaya mengumpulkan beratus-ratus tandatangan dalam tempoh lima hari.
“Terdapat sebuah lubang benam yang menarik perhatian saya pada akhir Oktober dan ketika itu saiznya sebesar pinggan. Ia kini membesar sehingga saya boleh berbaring di dalamnya.
Jalan itu sama seperti jalan yang anda akan melihat di zon perang dan ia amat mengejutkan kerana lubang itu dibiarkan rosak,” katanya.
Petisyen tersebut menekankan risiko bahaya terhadap pengguna jalan raya serta mendakwa bahawa kenderaan pemandu berulang kali rosak, manakala penunggang basikal tersangkut dalam kesesakan lalu lintas susulan kekurangan laluan untuk basikal. – AGENSI














