fbpx
SEBUAH kilang memproses bahan buangan terjadual disyaki telah melepaskan sisa cecair sehingga menyebabkan air Sungai Bukit Rambai menjadi hitam dan busuk.

JAS kesan kilang disyaki punca Sungai Bukit Rambai jadi hitam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri telah mengenal pasti sebuah kilang memproses bahan buangan terjadual yang disyaki menyebabkan pencemaran air berwarna hitam di kolam tadahan banjir di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka, Rosli Mustafa berkata, siasatan awal mendapati pencemaran tersebut berkemungkinan berpunca daripada pelepasan sisa cecair oleh kilang berkenaan.

Katanya, beberapa siri siasatan serta pemantauan intensif telah dilakukan sejurus aduan diterima bagi mengenal pasti punca sebenar dan pihak yang bertanggungjawab.

“Kilang yang dikenal pasti ini menjalankan aktiviti pemprosesan bahan buangan terjadual dan kami telah mengarahkan penghentian serta-merta sebarang aktiviti pelepasan yang berpotensi menyebabkan pencemaran.

“Sehingga 2 Februari lalu, satu premis telah dikenal pasti dan tindakan penguatkuasaan awal telah diambil selaras dengan peruntukan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Tambahnya, pihaknya juga telah mengambil sampel air di lokasi kejadian bagi tujuan analisis lanjut dan sedang menunggu pengesahan daripada Jabatan Kimia Malaysia.

“Keputusan analisis sampel ini bergantung kepada Jabatan Kimia dan dijangka diperoleh dalam tempoh paling cepat seminggu, manakala tempoh maksimum boleh mengambil masa sehingga sebulan.

“Pemantauan berterusan akan dilaksanakan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang serta keselamatan alam sekitar dan penduduk sekitar sentiasa terpelihara,” katanya.

Semalam Kosmo! melaporkan aktiviti harian hampir 1,000 penduduk di empat kampung di Bukit Rambai dekat sini terganggu ekoran pencemaran sungai sepanjang kira-kira 10 kilometer yang dipercayai berpunca daripada sisa industri.

Seorang penduduk, Nur Luqman Mohd. Said, 29, berkata, keadaan itu turut menyebabkan ramai keluarga terpaksa menutup pintu dan tingkap rumah sepanjang masa kerana tidak tahan dengan bau yang kuat.

“Baunya amat kuat sehingga hilang selera makan. Kami harap pihak berkuasa dapat bertindak segera demi kesihatan dan kesejahteraan penduduk,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN