PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan nasihat kepada Panglima Angkatan Tentera (PAT) yang baharu, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman ketika mengadakan pertemuan di Istana Negara hari ini.
Menerusi perkongsian di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda bertitah bahawa kekuatan sesebuah angkatan pertahanan bukan sahaja terletak pada aset dan teknologi, tetapi juga pada nilai integriti.
Malah titah baginda, budaya menolak rasuah dan salah guna kuasa mesti menjadi teras kepimpinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurut Sultan Ibrahim, integriti, ketelusan dan akauntabiliti adalah asas penting dalam memastikan ATM kekal dihormati serta diyakini rakyat.
“Seluruh warga ATM perlu mengekalkan disiplin tinggi dan menjadikan prinsip menolak rasuah sebagai budaya kerja yang berterusan demi kedaulatan dan kepentingan negara,” titah Seri Paduka Baginda.
Sultan Ibrahim, turut berkenan mengingatkan supaya kepemimpinan tertinggi ATM sentiasa mengutamakan kebajikan anggota, di samping mempertingkatkan keupayaan pertahanan selaras dengan perkembangan cabaran keselamatan semasa.
Pada pertemuan berkenaan, Seri Paduka Baginda turut berkenan menzahirkan keyakinan bahawa PAT yang baharu mampu menggalas tanggungjawab dengan penuh dedikasi. – KOSMO! ONLINE














