PETALING JAYA – Kesedaran rakyat Malaysia terhadap kepentingan penggunaan air secara berhemat melalui produk cekap air menunjukkan perkembangan yang semakin positif seiring dengan usaha berterusan SPAN dalam mentransformasi perkhidmatan air negara.
Hasil dari kaji selidik yang melibatkan hampir 30,000 orang responden pada pertengahan tahun 2025 oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mendapati hampir 80 peratus rakyat Malaysia mengetahui tentang produk cekap air, manakala hampir 65 peratus responden pernah melihat logo Skim Pelabelan Produk Cekap Air (Water Efficient Product Labelling Scheme, WEPLS). Selain itu, sebanyak 60 peratus responden dilaporkan telah menggunakan produk berlabel WEPLS di kediaman masing-masing.
Pada masa yang sama, purata penggunaan air rakyat Malaysia masih berada pada paras yang tinggi iaitu sekitar 225 liter per kapita sehari, berbanding kadar yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) sebanyak 165 liter sehari. Keadaan ini jelas menunjukkan keperluan mendesak untuk mengubah tabiat penggunaan air dalam kalangan pengguna domestik, khususnya.
Justeru, pelbagai inisiatif kesedaran dijalankan untuk menggalakkan penggunaan produk cekap air yang bukan sahaja dapat mengurangkan pembaziran tetapi juga membantu pengguna mengurus penggunaan air dengan lebih berhemat. Antara inisiatif utama ialah pengenalan logo WEPLS sejak 2013 yang direka untuk membantu pengguna membuat pilihan produk berdasarkan tahap kecekapan air melalui sistem penarafan bintang.
Produk berlabel WEPLS dinilai mengikut jumlah penggunaan air, dengan prinsip ‘lebih bintang, lebih cekap, lebih jimat’, sekali gus menyokong amalan gaya hidup hijau serta membantu menjimatkan bil air untuk jangka masa panjang.
Seiring dengan peningkatan kesedaran pengguna, SPAN telah memperkenalkan Program Penggantian Produk Cekap Air yang diadakan untuk menilai keberkesanan penggunaan produk berlabel WEPLS di kediaman penduduk.
Program perintis ini dijalankan di tiga lokasi kediaman iaitu Santan dan Kangar, Perlis serta Hulu Terengganu dengan melibatkan pemasangan empat jenis produk cekap air terdiri daripada pili air, pancuran mandi, tandas dwi simbahan dan mesin basuh.
Selain pemasangan produk cekap air, usaha membaik pulih sistem perpaipan dalaman turut dilaksanakan bagi memastikan sistem bekalan air beroperasi dengan cekap dan bebas kebocoran.
Kerja-kerja pemantauan penggunaan air dijalankan di kediaman berkenaan secara bulanan selama enam bulan, dari Januari hingga Jun 2025 bagi menilai perubahan corak penggunaan air sebelum dan selepas pemasangan produk cekap air.
Hasil pemantauan mendapati dua premis mencatatkan penurunan penggunaan air yang ketara, masing-masing sebanyak 85 peratus dan 78.5 peratus. Bagaimanapun, satu premis merekodkan peningkatan kecil sebanyak lima peratus susulan aktiviti perniagaan katering yang dijalankan semasa pelaksanaan program.
Menurut SPAN, penggunaan produk cekap air berpotensi besar menyumbang kepada pengurusan permintaan air domestik yang mampan selain membantu negara mencapai sasaran 160 liter per kapita sehari menjelang 2030, selaras dengan Pelan Transformasi AIR 2040.














