MANCHESTER – Manchester United berjaya menyempurnakan misi kemenangan hatrik di bawah kendalian Michael Carrick apabila berjaya menewaskan Fulham 3-2 di Old Trafford pada aksi kelmarin.
Gol kemenangan menerusi pemain gantian, Benjamin Sesko pada masa kecederaan berjaya membantu United mengelak daripada ‘berputih mata’ apabila mereka berjaya mendahului 2-0 sebelum Fulham bangkit memadam kelebihan tersebut.
Kejayaan itu memastikan United mengekalkan kedudukan di tempat keempat apabila meraih 41 mata, ketinggalan 12 mata di belakang pendahulu dan kekurangan lima mata berbanding Aston Villa yang berada di kedudukan ketiga.
Pada perlawanan itu, United selesa mendahului dengan dua gol menerusi Casemiro dan Matheus Cunha sebelum Fulham bangkit meledak dua gol dalam tempoh lima minit bermula minit ke-86 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Raul Jimenez dan Kevin.
Bagaimanapun, ketika perlawanan berbaki lima minit untuk berakhir dalam masa kecederaan, Sesko yang menerima umpanan Bruno Fernandes berjaya meledak gol kemenangan sekali gus meneruskan momentum kemenangan selepas pemecatan Ruben Amorim.
“Ia adalah perlawanan yang besar, Fulham merupakan pasukan yang baik, mereka tidak jauh di belakang kami. Ketika ini, kami perlu menganggap semua perlawanan adalah aksi besar untuk kami.
“Ramai yang menganggap perlawanan ini mudah, bagi kami ia sukar. Pada akhirnya kami berjaya melakukannya. Saya sangat gembira dengan apa yang ditunjukkan oleh Ben (Benjamin Sesko). Tidak ada yang lebih baik kecuali memenangi perlawanan di tempat sendiri,” kata Carrick.
Sementara itu, Sesko mengakui jaringan itu paling istimewa dalam kariernya bersama United setakat ini selepas mengumpul lima gol dan satu umpanan jaringan setakat ini dalam kancah EPL.
“Ia sukar dipercayai, menjaringkan gol di tempat sendiri dan ia adalah gol kemenangan. Saya sentiasa mengimpikan situasi itu sebelum ini dan akhirnya menjadi realiti.
“Pengurus sentiasa memberitahu saya supaya turun dan menikmati perlawanan. Anda boleh lihat bagaimana kami bekerja keras sepanjang perlawanan untuk mendapatkan kemenangan ini,” jelas Sesko. – AGENSI














