PETALING JAYA – Kes buli melibatkan seorang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Labu Besar, di Kulim, Kedah mendapat perhatian serius Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Kedah selepas aduan dibuat secara terus oleh keluarga mangsa ketika pertemuan empat mata baru-baru ini.
Datuk Seri Saifuddin Nasution ketika turun padang bertemu dengan penduduk setempat turut meluahkan kebimbangan terhadap tahap keselamatan murid sekolah rendah apabila dimaklumkan wujud unsur keganasan dalam kejadian berkenaan.
“Bawa pisau juga? Depa (mereka) sorok dalam beg? Pisau ke kayu? Depa katok (pukul) abang dekat mana? Keluar pagar sekolah depa buat?,” soal beliau kepada murid terbabit.
Menurut maklumat awal, murid tersebut mendakwa dia dibuli oleh beberapa pelajar lain sehingga menimbulkan trauma dan ketakutan melampau, menyebabkan kanak-kanak itu enggan hadir ke sekolah.
Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata pihaknya memandang serius perkara tersebut dan akan menjalankan siasatan susulan di sekolah berkenaan dalam masa terdekat selepas bapa murid berkenaan memaklumkan anaknya enggan ke sekolah kerana risau insiden buli berulang.
“Tak boleh tu, kena suruh pergi sekolah. Nanti kita betulkan,” katanya.
Dalam nada bersahaja, Adzli turut cuba menenangkan murid terbabit dengan berseloroh membenarkan kanak-kanak itu menyebut namanya sekiranya berdepan dengan pembuli.
“Kalau payah (takut), sebut nama atuk,” katanya.
Video pertemuan itu dimuat naik pengguna TikTok @misiupdate dan mendapat perhatian ramai pihak.
“Lepas ini adik pergi sekolah mereka tak berani dah nak buli,” komen @rimbabara.
“Terbaik, YB santuni rakyat,” kata @yuyuyuyu.
“Bagus adik, jujur,” puji @AisKrim. – KOSMO! ONLINE
@misiupdate Seorang pelajar Sekolah Kebangsaan Labu Besar, Kulim, Kedah dilaporkan menjadi mangsa buli sehingga mengalami trauma dan ketakutan untuk hadir ke sekolah. Perkara ini telah mendapat perhatian serius daripada Menteri Dalam Negeri serta Ketua Polis Kedah yang menegaskan komitmen untuk memastikan keselamatan murid dan tindakan tegas terhadap pelaku buli. Keselamatan dan kesejahteraan pelajar adalah keutamaan bersama. @Saifuddin Nasution #labubesar #kulim #kedah #foryou #saifuddinnasution #misiupdate #MalaysiaMadani #KerajaanPerpaduan ♬ original sound – AKI Seruling














