PETALING JAYA – Tindakan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sanggup melayan sekumpulan murid sekolah rendah yang meminta autograf serta bergambar dan membelanja mereka makanan mendapat pujian daripada orang ramai.
Menerusi video dimuat naik TikTok SN Legacy Sdn. Bhd. memperlihatkan, sekumpulan murid tersebut terserempak dengan Siti Nurhaliza di satu tempat di ibu negara.
“Awalnya intai-intai dari jauh. Ingatkan sekadar tengok Datuk Seri makan. Sekali rupanya nak minta sign (autograf) lah. Buku koyak pun takpe ye dik.
“Comel betul adik-adik ni. Belajar rajin-rajin ya, semoga berjaya dan membanggakan keluarga,” menurut kapsyen SN Legacy Sdn. Bhd.
Pada video berkenaan, Siti Nurhaliza kemudian menandatangani kesemua kertas yang diberikan peminat kecil itu.
“Dia minta sign budak-budak ni. Ya Allah, habis koyak buku ya. Nanti kita ambil gambar. Belajar rajin-rajin okey. Dah makan ke? Pergilah makan,” katanya.
Seorang daripada murid tersebut memberitahu, mereka tidak mempunyai wang untuk membeli makanan.
“Kitorang student (pelajar), mana ada duit,” katanya.
Berikutan itu, Siti Nurhaliza membelanja makanan untuk mereka semua.
“Auntie belanja,” katanya sambil mengira jumlah murid tersebut.
Dalam masa sama, seorang daripada mereka dipercayai menghubungi ibunya memaklumkan bertemu Biduanita Negara.
“Amad jumpa Siti Nurhaliza,” katanya ketika bercakap di telefon.
Menerusi ruangan komen, ramai yang memberikan respons positif selain ada dalam kalangan ibu kanak-kanak tersebut turut mengucapkan terima kasih kepada Siti Nurhaliza.
“Pandai Siti rekrut Sitizoners (kelab peminat Siti Nurhaliza) pelapis,” komen pengguna TikTok Daddy AfqarAnaqie.
“Terima kasih Datuk Seri dah belanja anak akak hari ini. Sampai rumah, terus cakap ‘mak hari ni kita jumpa Datuk Siti Nurhaliza siap belanja kita orang makan’. Dalam hati akak, mimpi apa anak aku ni tiba-tiba cakap jumpa Datuk Siti Nurhaliza. Tahu-tahu memang betul,” kata Ty Surihani.
“Alhamdulillah rezeki anak saya. Terima kasih Datuk Siti belanja anak saya makan. Semoga melimpah ruah rezeki,” kata Isma Cinta Mhd. – KOSMO! ONLINE














