DUNGUN – Seorang lelaki warga emas cedera parah pada bahagian belakang badan dan dagu akibat bergelut dengan seorang penjenayah yang memecah masuk rumahnya di Kampung Pinang Merah, Paka, di sini, hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 3 pagi, mangsa, Roslan Sidek, 62, dilibas penjenayah tersebut sekurang-kurangnya sebanyak empat kali dengan sebilah pisau.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, sewaktu kejadian, lelaki warga emas itu sedang tidur di dalam bilik bersama isterinya yang merupakan penyelia jururawat sebuah pusat kesihatan di daerah ini.
“Mereka tiba-tiba dikejutkan suspek yang memakai topi berwarna hitam sebelum tubuh mangsa dihempap penjenayah itu.
“Suspek mengacu pisau ke arah mangsa sambil mendesak diserahkan wang. Dia menyebabkan berlaku pergelutan antara dua lelaki tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Maizura berkata, suspek telah bertindak ganas melibas pisau ke tubuh mangsa beberapa kali sepanjang pergelutan terbabit, manakala isteri mangsa sempat melarikan diri untuk meminta pertolongan adiknya yang tinggal bersebelahan.
“Suspek kemudiannya didapati bertindak melarikan diri menerusi pintu dapur rumah,” katanya. – KOSMO! ONLINE














