BANGKOK – Syarikat penerbangan AirAsia memohon maaf susulan 23 penumpang yang menaiki bas ulang alik tertinggal untuk menaiki pesawatnya di Bangkok, Thailand, lapor portal berita Thaiger hari ini.
Kejadian berlaku pada 17 Januari lalu apabila sebuah pesawat Air Asia dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang pada pukul 7.10 pagi (waktu tempatan) ke Hatyai.
Seorang penumpang kemudian menceritakan situasi itu dalam satu hantaran di Facebook yang diterbitkan semalam yang memberitahu bahawa dia dan kumpulannya telah pun menaiki pesawat.
Namun, seorang penumpang warga emas memaklumkan kepada kru kabin bahawa rakannya masih belum menaiki pesawat, walaupun telah mendaftar masuk.
Penumpang itu menyedari bahawa kru kabin tidak menyedari ada penumpang yang masih hilang.
Apabila dihubungi melalui telefon, rakannya mengesahkan bahawa mereka masih berada dalam bas ulang-alik kerana pintu tidak dibuka untuk membenarkan penumpang keluar.
Pesawat yang ketika itu telah mula bergerak ke landasan terpaksa berpatah balik ke pintu terminal.
Pintu menaiki kapal terbang dibuka semula dan 23 penumpang dibenarkan menaiki pesawat itu. – AGENSI














