PEMBANGUNAN bakat muda dengan mengekalkan platform yang progresif terus menjadi fokus utama barisan kepimpinan baharu Persatuan Golf Wanita Malaysia (MALGA) yang dipilih menerajui badan induk itu bagi penggal baharu sehingga 2027.
Demikian kenyataan Presiden MALGA, Tunku Puteri Puan Sri Datuk Seri Jawahir Tuanku Ja’afar dalam ucapannya pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-42 yang diadakan di Majlis Olimpik Malaysia, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurutnya, MALGA telah menyaksikan pelbagai kejayaan selama ini sebagai satu-satunya badan golf yang ditubuhkan semata-mata untuk membangunkan golf wanita tanah air.
“Keutamaan tetap jelas. Untuk bangunkan bakat muda, beri sokongan kepada pemain-pemain kompetitif dan pastikan MALGA terus menjadi platform yang mesra serta progresif untuk semua pemain golf wanita di Malaysia.
“Bersama-sama, kita telah mengukuhkan program, meluaskan peluang buat pemain golf remaja serta wanita dan terus mempromosikan semangat permainan (golf) di seluruh negara,” katanya.
Pada AGM berkenaan, jawatan Naib Presiden MALGA menjadi milik Dr. Noor Aziah Mohd. Ariffin dan Datin Sri Norhidayah Azmi, manakala Tengku A’liaa Muna Tengku Abdul Rahman menggalas peranan sebagai Setiausaha Kehormat MALGA.
Flora Anak Rabar pula sebagai Bendahari Kehormat selain Wan Aishah Wan Farid, Norli Che Daud, Hairryna Aleeza Muhamad Hafid Nawar dan Nurul Afzam Ngah selaku empat Ahli Jawatankuasa melengkapkan barisan kepimpinan penggal baharu MALGA.
Surimah Ismail kini menggalas peranan sebagai Pengurus Besar MALGA buat badan induk itu yang ditubuhkan sejak 15 Mac 1983 dan kini di bawah penaung, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.
Dalam masa sama, Tunku Puteri Jawahir turut berbangga dengan pencapaian mereka melaksanakan pelbagai program sepanjang tahun lalu antaranya Piala Puteri yang mendapat sambutan cukup menggalakkan.
Penganjuran Terbuka Amatur Wanita Malaysia dengan Kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada Julai 2025 berjaya menarik penyertaan 15 negara termasuk lapan dari Asia Tenggara.
Tahun lalu juga menyaksikan MALGA mendapat kepercayaan KBS untuk melaksanakan Kursus Asas Latihan Sukan (KLAS) program Golf for Girls (GFG) selama enam sesi dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Penchala, Kuala Lumpur.
“Semua ini tidak akan dapat dicapai tanpa dedikasi semua ahli yang telah berkhidmat dalam jawatankuasa, kakitangan, dan penaja-penaja kami selama ini,” jelas Tunku Puteri Jawahir.














