KUALA LUMPUR – Isu penternakan babi di negara ini perlu dilihat daripada sudut pengurusan pencemaran dan keterjaminan makanan tanpa melibatkan sentimen kaum atau agama, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau berkata, antara cabaran utama penternakan babi adalah isu pencemaran, justeru kerajaan sedang mencari pendekatan terbaik bersama kerajaan negeri bagi memastikan pengurusan penternakan dilaksanakan secara lebih teratur dan lestari.
“Masalah (penternakan) babi ni ialah masalah perbincangannya hal pencemaran. Maka kita akan mencari jalan bersama dengan pihak kerajaan negeri bagaimana nak menyediakan, termasuklah hal makanan ini ataupun daging babi ini dalam keadaan penternakannya dan sebagainya agar tidak berlaku pencemaran.
“Kita tahu bahawa proses untuk membuat, kalau ada seperti yang berlaku di Negeri Sembilan, Melaka dahulu, kita cuba mencari jalan yang terbaik, terutamanya menyediakan infrastruktur yang ‘zero waste’ kalau ada penternakan kawasan baru,” katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Peluncuran Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030 di sini hari ini.
Justeru itu katanya, perbincangan dengan kerajaan-kerajaan negeri perlu diadakan untuk menjaga semua pihak supaya ianya tidak terjejas.
“Khasnya ini hal makanan dan pencemaran, bukan soal kaum ataupun agama dan sebagainya.
“Ini yang kita nak selesaikan, cara serta bentuk keterjaminan makanan ini,” katanya.
Terdahulu, Ahli Parlimen Sabak Bernam, Kalam Salan mencadangkan kerajaan mengimport daging babi berbanding meneruskan penternakan haiwan itu secara besar-besaran kerana sering mencetuskan bantahan penduduk setempat.- KOSMO! ONLINE














