fbpx
Tertuduh (gambar) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini. Gambar oleh DANIAL SAAD/KOSMO!

Bekas profesor berusia 73 tahun tak mengaku perdaya wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBERANG PERAI – Seorang bekas profesor yang juga Ketua Terapi Pekerjaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini, hari ini atas pertuduhan menipu seorang wanita melibatkan wang berjumlah RM20,000, September lalu.

Tertuduh, V. Kathirkamanathan, 73, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapanya dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memperdaya seorang wanita supaya mencadangkan dia dilantik sebagai Programme Consultant bagi Master of Science in Occupational Therapy di di Royal College of Surgeon Ireland (RCSI) University College Dublin (UCD) Kampus Malaysia (RUMC).

Tertuduh juga didakwa mencadangkan bayaran RM20,000 untuk membangunkan modul Program Terapi Pekerjaan, walaupun mengetahui lantikan tersebut melanggar kontrak kerja antara tertuduh dengan Universiti Perdana.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kampus RUMC di George Town, dalam Daerah Timur Laut pada 26 September 2024.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, dengan denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Noor Azura Zulkiflee manakala tertuduh diwakili peguam Eric Paulsen.

Semasa prosiding, pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 selain menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai serta melaporkan diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhampiran sekali setiap bulan.

Bagaimanapun, Eric dalam rayuannya memohon jaminan sebanyak RM5,000 atas alasan anak guamnya menghidap masalah jantung dan sakit belakang serta tidak memiliki rekod jenayah.

“Sebelum ini, tertuduh yang memiliki pengalaman hampir 50 tahun bertugas sebagai profesor dan pernah memegang jawatan Ketua Jabatan Terapi Pekerjaan di Universiti Perdana dan saya mohon pasportnya tidak diserah kepada mahkamah kerana tidak ada sebab anak guam saya untuk melarikan diri,” katanya.

Roslan kemudiannya membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selain perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur bermula 1 Mac. Mahkamah turut menetapkan 1 April depan untuk sebutan semula kes. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI