PUTRAJAYA – Operasi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang merangkumi empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor dilaporkan kekal mengikut jadual iaitu pada Januari 2027.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ketetapan itu ditetapkan berikutan sistem rel memerlukan penelitian teliti memandangkan ia melibatkan pelbagai sistem termasuk ujian integrasi.
“Kita kena faham bahawa sistem keretapi bukan sahaja tengok landasan, ia mesti ada integrasi sistem dahulu.
“Jadi, pemeriksaan atau ujian sistem belum dimulakan. Bagi pihak Kementerian Pengangkutan, kita masih kekal dengan jadual pada Januari tahun depan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perhimpunan Bulanan Menteri Pengangkutan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta memberi reaksi kepada kenyataan dibuat Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang memaklumkan ECRL mungkin beroperasi lebih awal tahun ini berbanding tahun depan.
Mengulas lanjut, Anthony berkata, beliau tidak menyalahkan Menteri Besar Pahang berhubung kenyataan operasi ECRL itu dengan menyifatkan beliau mungkin mendapat taklimat berlainan.
“Tetapi daripada Kementerian Pengangkutan, (mengikut) pengalaman kita bahawa sistem rel ini paling mencabar, ia bukan daripada segi infrastruktur, perkakasan dan perisian sahaja.
“Ujian sistem juga sama, adakah ia boleh integrasi dengan baik atau tidak. Kita sudah banyak pengalaman Aerotrain, LRT3 dia ada masalah sistem, masalah perisian,” katanya. – KOSMO! ONLINE














