GUA MUSANG – Penyakit sawan yang dialami sejak lahir menyebabkan seorang wanita orang kurang upaya (OKU) yang tinggal di Kampung Kala di sini, hanya dapat menggantikan kad pengenalan lama miliknya selepas 22 tahun.
Zainab Husin, 55, tidak dapat membuat penukaran dokumen kerana kerap diserang sawan selain tidak dapat berjalan dengan sempurna.
Adiknya, Hasanah, 42, berkata, Zainab tidak mampu menguruskan diri sendiri dan berdepan kekangan untuk melakukan perjalanan jauh ke bandar Gua Musang sejauh kira-kira 30 kilometer dari rumah.
“Cip MyKad milik kakak pula rosak sejak Disember tahun lalu sehingga beberapa urusan penting termasuk tuntutan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) tidak dapat dilakukan.
“Keadaan kesihatan kakak memang tidak mengizinkan untuk bergerak jauh termasuk ke Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Gua Musang. Jika berada lama di dalam kenderaan, dia akan cepat letih dan berisiko diserang sawan,” katanya selepas menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani dan kakitangan JPN Gua Musang di rumahnya di Kampung Kala di sini semalam.
Sementara itu, Pengarah JPN Kelantan Halimatusaadiah Ramli @ Mohd. Shah berkata, sebanyak 357 permohonan melalui Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) Ihsan telah berjaya diselesaikan bermula 2023 sehingga 2025.
Katanya lagi, Program Mekar Ihsan merupakan satu daripada lima inisiatif yang ditawarkan iaitu yang melibatkan golongan yang layak tetapi tidak dapat hadir ke JPN seperti warga emas, OKU, pesakit terlantar, dan pesakit kronik. – KOSMO! ONLINE














