GEORGE TOWN – Kerajaan memberi jaminan akan mengambil kira pelbagai aspek pendidikan termasuk Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) secara menyeluruh selaras dengan kepentingan orang ramai dan sistem pendidikan negara.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, isu pengiktirafan UEC tidak boleh dilihat secara terasing kerana melibatkan keseluruhan sistem pendidikan yang tidak berteraskan kepada kurikulum kebangsaan.
Katanya, memang terdapat pandangan berbeza yang dikemukakan oleh pelbagai pihak mengenai isu berkaitan UEC, namun keputusan kerajaan akan dibuat secara menyeluruh demi kepentingan orang ramai.
”Tak apalah, masing-masing ada pandangan, dia akan bagi pandangan masing-masing. Tetapi yang paling besar, apabila kerajaan membuat keputusan, kerajaan telah mengambil kira semua aspek itu untuk kepentingan orang ramai,” katanya selepas menghadiri Program Kembara Karisma Pemimpin Muda Madani di Universiti Sains Malaysia (USM), di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai gabungan 32 badan bukan kerajaan (NGO) Melayu-Islam hari ini yang menggesa kerajaan untuk memansuhkan secara kekal draf Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang telah ditarik balik serta mengulangi bantahan mereka terhadap sebarang rancangan untuk mengiktiraf UEC secara rasmi.
Zambry berkata, perkara berkaitan pendidikan telahpun disentuh oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menekankan keperluan penguasaan bahasa Melayu dan pemahaman Sejarah dalam semua aliran pendidikan, termasuk sekolah antarabangsa, sekolah agama serta institusi yang tidak mengikuti kurikulum nasional.
”Apa yang disebut oleh Perdana Menteri adalah mencakupi keseluruhan sistem pendidikan, bukan terhad kepada UEC semata-mata.
”Kita bercakap tentang keperluan bahasa Melayu dan Sejarah bagi semua sistem persekolahan yang tidak berasaskan kurikulum kebangsaan,” katanya.
Katanya, kerajaan mengambil pendekatan berhati-hati dan bersepadu dengan memastikan semua kementerian serta pihak terlibat berada pada landasan yang sama sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
”Kita tidak mahu saya (KPT) buat keputusan lain, Menteri Pendidikan buat keputusan lain. Sebab itu perbincangan telah diadakan dengan pelbagai pihak termasuk sekolah antarabangsa, sekolah agama dan juga pihak berkaitan UEC,” katanya. -KOSMO! ONLINE














