fbpx
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man berucap semasa majlis pelancaran INTAC 2026.

INTAC 2026 himpun pemain industri pelancongan, seni dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pameran dan persidangan antarabangsa International Tourism, Art and Culture 2026 (INTAC 2026) dijadualkan berlangsung dari 10 hingga 12 Julai 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dengan sasaran menghimpunkan pemain industri pelancongan, seni dan kebudayaan dari dalam serta luar negara.

Acara yang dianjurkan sempena kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026) itu bakal menjadi platform utama memperkukuh jaringan antarabangsa serta merancakkan perdagangan dalam sektor pelancongan dan industri kreatif.

Disokong oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) serta Tourism Malaysia, INTAC 2026 dijangka menarik penyertaan pemimpin industri, penggiat seni, institusi budaya dan pelabur antarabangsa di bawah tema Bridging Cultures, Inspiring Trade.

Sepanjang tiga hari penganjuran, pelbagai aktiviti berimpak tinggi akan diketengahkan termasuk pameran seni tempatan dan antarabangsa, persidangan pelancongan, peragaan fesyen, majlis makan malam gala, lelongan artifak Islam serta program Fun Run & Ride bagi menggalakkan penglibatan komuniti.

Menurut pihak penganjur, INTAC 2026 bukan sahaja membuka peluang kepada peserta pameran mempromosikan produk dan perkhidmatan, malah memberi ruang kepada pembeli dan pelabur meneroka kerjasama strategik merentas negara.

“Dengan penekanan kepada kolaborasi, inovasi dan perdagangan, INTAC 2026 berpotensi menjadi acara mercu tanda yang menghubungkan budaya serta memacu pertumbuhan mampan industri pelancongan dan kreatif,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif VM2026, penganjuran INTAC 2026 turut dilihat sebagai langkah strategik untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pelancongan, seni dan kebudayaan di peringkat global. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN