MELIHAT kenderaan berkuasa tinggi atau supercar meluncur laju di jalan raya bukanlah satu pemandangan asing, sementelah panorama sebegitu sesekali akan menghiasi laluan di kawasan mewah atau berstatus.
Jenama automotif yang popular dalam kalangan golongan elit, Lamborghini bagaimanapun menjadikan sempadan antara darat dan laut semakin kabur apabila memperkenalkan kapal layar mewah dan eksklusif atau superyacht.
Diinspirasikan daripada reka bentuk dan ‘DNA’ prestasi Lamborghini, superyacht Tecnomar for Lamborghini 63 bukan sahaja kapal layar mewah yang menjadi simbol kekayaan tetapi juga manifestasi gabungan kejuruteraan ekstrem, futuristik dan teknologi berprestasi tinggi.
Idea Lamborghini yang melangkaui jalan raya, superyacht berteknologi tinggi itu mencuri perhatian dunia automotif dan maritim apabila disenaraikan di platform SBX Cars baru-baru ini.
Kapal tersebut dilihat berada di sebuah marina di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu baru-baru ini.
Dibangunkan melalui kerjasama strategik antara Lamborghini dan Tecnomar iaitu sebuah jenama kapal layar Itali di bawah The Italian Sea Group, superyacht tersebut dihasilkan dalam bilangan terhad yang menyasarkan peminat tegar automotif berprestasi tinggi.
Mula dibina pada tahun 2020, kelibat kenderaan itu tidak mudah ditemui dan baru-baru ini SBX telah berkongsi mengenainya.

Reka bentuknya jelas mencerminkan identiti Lamborghini daripada garis badan tajam dan agresif sehinggalah penggunaan warna, bahan dan elemen aerodinamik yang lazim ditemui pada model supercar dan hypercar jenama itu.
Tecnomar for Lamborghini 63 itu dinamakan sempena tahun penubuhan Automobili Lamborghini pada 1963, sekali gus mengangkat nilai sejarah yang dibawa ke dalam dunia maritim.
Berdasarkan perkongsian pempengaruh automotif popular, Alex Hirschi atau dikenali sebagai Supercar Blondie, kapal layar tersebut mempunyai panjang sekitar 63 kaki dan dibina menggunakan bahan gentian karbon ringan yang sama digunakan dalam pembinaan kereta lumba Lamborghini.
Ini bertujuan memastikan nisbah kuasa kepada berat yang optimum serta prestasi maksimum di atas air.
“Dari segi keupayaan, superyacht ini dikuasakan oleh dua enjin MAN V12 yang masing-masing menghasilkan sekitar 2,000 kuasa kuda, menjadikan jumlah keseluruhan 4,000 kuasa kuda.
“Gabungan ini membolehkan kapal tersebut mencapai kelajuan maksimum sekitar 60 knot, satu angka luar biasa bagi sebuah kapal layar mewah dan meletakkannya dalam kategori ‘superyacht terpantas’ di dunia,” katanya.
Dalaman kapal turut direka dengan pendekatan sama seperti kabin supercar Lamborghini iaitu setiap perincian menekankan elemen futuristik dan ergonomik termasuk tempat duduk gentian karbon.
Kemasan alcantara iaitu sintetik premium pada kerusi memberikan sentuhan mewah, manakala butang kawalan yang menyerupai suis dalam kokpit pesawat disertakan paparan digital berteknologi tinggi.
Reka letak ruang dalaman juga dibuat untuk memberikan keselesaan maksimum tanpa mengetepikan ciri prestasi.

Supercar Blondie turut memberitahu hanya 63 unit Tecnomar for Lamborghini 63 dihasilkan untuk pasaran global, menjadikannya aset koleksi yang sangat eksklusif.
Setiap unit boleh disesuaikan mengikut cita rasa pemilik, sama ada dari segi warna luaran, kemasan dalaman mahupun konfigurasi teknologi selaras konsep personalisasi yang menjadi kelebihan utama Lamborghini.
“Konsep kapal layar yang mendapat ilham daripada model supercar Lamborghini dengan ciri-ciri sudut tajam, profil rendah serta siluet ‘agresif’ ini jarang dilihat dalam industri pembinaan kapal.
“Pendekatan ini mencerminkan usaha Lamborghini untuk mengekalkan identiti jenamanya walaupun merentasi industri yang berbeza. Selain faktor estetika dan kelajuan, superyacht ini juga dibangunkan dengan mengambil kira aspek kecekapan dan pengurangan berat agar selaras dengan usaha industri untuk meningkatkan kelestarian,” katanya.
Penggunaan gentian karbon dan sistem kejuruteraan ringan bukan sahaja meningkatkan prestasi, malah membantu mengurangkan penggunaan bahan api berbanding kapal layar konvensional dengan saiz yang sama.
Tecnomar for Lamborghini 63 dilengkapi dengan kawasan dek luar dan kokpit yang menempatkan ruang pemandu bersama kerusi bucket seperti dalam kereta Lamborghini. Lengkap dengan stereng dan butang start seperti Lamborghini Huracan, kawasan dek luar juga disediakan tempat duduk, televisyen dan ruang makan.
Bagi memberikan sentuhan peribadi, bahagian kabin (interior) boleh menentukan sendiri sama ada ingin dijadikan sebagai ruang rehat (ruang tamu) atau bilik tidur.

Terdapat juga bilik tidur utama (master cabin) yang dilengkapi dengan sebuah katil saiz queen selain dihiasi dengan corak heksagon (segi enam) yang sangat ikonik dan menjadi identiti reka bentuk Lamborghini.
Terdapat juga bumbung matahari dengan rekaan menyerupai segi tiga atau perisai (V-shape), ciri gaya ikonik yang sering digunakan dalam reka bentuk Lamborghini.
Sementara itu, kemasan dan rekaan kabinet gaya futuristik menghiasi ruang galley yang turut dilengkapi peti sejuk, dapur memasak, singki dan mini bar.
Tandas mewah dengan kemasan karbon fiber dan pancuran air panas bersama sistem pencahayaan LED di seluruh bot disesuaikan mengikut identiti lampu ikonik Lamborghini.
Terdapat juga kemudahan seabob iaitu skuter air mewah atau propulsor selam skuba (DPV) iaitu peranti berkuasa elektrik digunakan untuk bergerak pantas di atas atau di dalam air, sama ada untuk snorkeling, menyelam atau sekadar berseronok.
Penganalisis industri melihat kolaborasi antara Lamborghini dan Tecnomar sebagai contoh jelas trend penjenamaan rentas industri apabila jenama automotif berprestij memanfaatkan reputasi serta kepakaran mereka untuk meneroka pasaran baharu.
Terdahulu beberapa jenama supercar lain turut memperkenalkan kapal layar sebagai simbolik gaya hidup mewah, namun projek Tecnomar for Lamborghini 63 dianggap antara yang paling berjaya berdasarkan konsistensi reka bentuk dan prestasi.
Walaupun harga rasmi tidak didedahkan secara terbuka bagaimanapun laporan antarabangsa menganggar Tecnomar for Lamborghini 63 bernilai antara AS$3.5 juta (RM14 juta) hingga AS$4.5 juta (RM20 juta) seunit.














